bahasa duniawi...

membina kitab menyuluh dunia Orwelliah

29.6.06

rak buku maya 1

oleh rastom |

Ada sedikit keganjilan pada sesetengah perangai manusia bila memasukki ruang tamu orang. Objek utama yang menarik bukannya perabut atau hiasan dalaman rumah tetapi rak buku. Dalam sebok bersembang mata mereka akan mencuri curi tengok apa buku yang ada didalam atau dibariskan di atas rak. Aruah nenek saya berpesan, " hang jangan dok pi punggah buku dalam lemari makcik hang tu!". Tahun 60'an suratkhabar harganya kalau tak silap 15 sen. Kartun Mat Jambul ada dalam Berita Harian. Reader's Digest pun saya punggah baca walaupun tak faham bahasa Inggeris ketika itu. Baca gambar saja lah. Novel yang ada dalam almari tu yang saya masih ingat ialah novel Salah Asohan, Senja di Jakarta, Tuan Direktur dan satu buku resipi bertulis jawi dengan hiasan depan wajah wanita persis Ros Yatimah sedang makan sate. Nasib baiklah mak saudara saya tu toleran dengan hasil punggah memunggah itu. Bila sudah besar panjang, tabiat punggah memunggah beralih ke kedai buku dan perpustakaan. Kedai mamak sampai satu ketika mungkin naik bengang dengan perangai manusia begini terus mengepit buku dan majalah dengan stapler. Padan muka! ......bersambung.

27.6.06

Da Vinci Code

oleh rastom |

mantan pegawai JAKIM dan Amir Sari yang memberi komen perihal kebijaksanaan JAKIM mengharamkan beberapa buah buku ingin saya panjangkan. Da Vinci Code dipersembahkan sebagai sebuah karya fiksyen. Masalahnya, fiksyennya bercampur baur dengan watak watak historis yang benar wujud dalam sejarah seperti Jesus. Tanggapan Dan Brown terhadap siapa itu Jesus tidak sama dengan fahaman kita terhadap Nabi Isa. Perlu dingat sepanjang sejarah, kontroversi siapa Jesus Christ tidak pernah selesai. Dan Brown saya lihat sebagai seorang oportunis kreatif yang mencuri banyak idea dari usaha kajian Baigent & Leigh. Sebelum terbitnya buku The Holy Blood and the Holy Grail ada sebuah buku lain berjudul The Dead Sea Scrolls Deception, yang mempersoalkan kesahihan Jesus disalib dengan andaian dan ujian saintifik. Ada sesuatu yang terlindung disini. Teori Baigent & Leigh yang kemudiannya diciplak oleh Dan Brown yakni perihal susur galur cucu cicit Jesus Christ dari perkongsian hidupnya dengan Mary Magdalene tidak boleh dipertahankan dan dianggap sebagai satu teori konspirasi yang sama tarafnya dengan Protocols of the Elders of Zion. Tukang karutnya juga seorang Perancis yang anti-semitik, Pierre Plantard. Walaubagaimana pun saya rasa tertarik dengan beberapa hujah Baigent & Leigh. Saya tidak membaca Da Vinci Code kerana telah mendahului menghadhami teori teori yang dibentangkan oleh Baigent & Leigh. Andainya JAKIM mengharamkan Da Vinci Code, maka elok juga haramkan kesemua buku buku yang revisionis sejarah Jesus Christ. Soalnya adakah orang JAKIM membaca?

26.6.06

NONZERO untuk Malaysia

oleh rastom |

Nonzero mengajak anda melihat dunia melalui sudut lain dari biasa. Majalah Fortune , March 21, 2005 kata ini buku terbaik berada dalam Top 75, terbaik berkaitan dunia bisnes. Dari beberapa sorotan yang saya teropong, penulisnya Robert Wright, menganjurkan perspektif evolusi manusia hidup bermasyarakat yang punyai satu halatuju. Ditemuinya satu teori, satu arah dalam sejarah budaya manusia. Gagasannya memberi pengisian kepada klise 'dunia tanpa sempadan' , bukan seperti laungan politik New World Order tetapi menjurus kepada satu dunia yang saling terikat-bergantung antara satu sama lain. Saya belum berpeluang memiliki dan membaca buku ini. Ada reviu yang meletakkan ide Robert Wright sebagai satu sanggahan kepada ide ide Karl Popper dan Isaiah Berlin. Ustaz Khalid Jaafar mungkin nanti usahakan sedikit pencerahan? Tema yang didokong buku ini rasanya patut dibaca oleh politikus dan pembuat dasar negara yang berbilang kaum. Bertuah sangatlah negara ini kalau ramai politikus yang membaca.

25.6.06

Jakim boleh minta khidmat saya

oleh rastom |

Langkah JAKIM mengharamkan buku buku tentunya berniat murni. Zaman sekarang niat murni sahaja belum cukup berkesan kerana faktor dunia tanpa sempadan. Sesuatu yang tersorok lebih membuat orang teruja maka kemungkinan buku buku tersebut terus jadi buruan peminat buku yang tau selok belok sempadan duniawi internet. Jika tiada hard-copy, orang boleh cari versi elektronik. Mau format apa? PDF? Microsoft Lit? RTF atau TXT biasa? Apa, tidak percaya? Saya boleh dapatkan kesemua buku buku Karen Armstrong dari internet tanpa mengunjungi kedai buku. Hinggakan yang terkini dari Karen Armstrong - The Great Transformation!Secara percuma pun boleh. Baiklah, kalau begitu apa metode yang terbaik untuk JAKIM usahakan? Jika niat murni JAKIM ingin mengekalkan kemurniaan aqidah, JAKIM boleh menggunakan khidmat saya untuk membuat sorotan buku buku tersebut, mungkin dalam blog ini. Sekurang kurangnya ada juga peluang pekerjaan untuk saya. Jika saya tidak mampu mengupas bab bab yang terlalu khusus, saya boleh gunakan networking saya dengan beberapa orang pakar. Dengan membaca sorotan buku buku tersebut, para pembaca biasanya akan terneutral keterujaannya untuk mencari cari buku buku tersebut. Pengguna internet tidak suka buang masa. Soalnya adakah JAKIM mampu mengubah paradigma bertindak sesuai dengan keadaan semasa. Bukankah sekarang kita mau wujudkan e-government?

25.6.06

Kris pelbagaiguna

oleh rastom |

22.6.06

DBP dan rempuhan globalisasi

oleh rastom |

Baru baru ini frasa rempuhan globalisasi menjadi ikutan ramai. Dalam majlis sambutan DBP 50 tahun dengan menara barunya Dr Firdaus sebut juga fasal rempuhan dan pemerkasaan>>> Globalisasi dianggap sebagai satu gergasi yang bakal merempuh dan meranapkan>>apa kata kalau dilihat dari paradigma lain? Kenapa tidak dilihat globalisasi sebagai satu peluang untuk DBP merempuh keluar bahu membahu dengan globalisasi? Bukankah menara itu lambang sesuatu yang towering?

21.6.06

disinformasi

oleh rastom |

Disinformasi dari bahasa Inggeris :disinformation: : maklumat palsu yang selalunya disebarkan secara rahsia (umpama menyebar khabar angin) untuk mempengaruhi pendapat umum dan menutup kebenaran. Seekor kucing yang berjasa kepada tuannya yang terdisinformasi dan terburu buru dikorbankan. Seorang budak cerdik dikorbankan cf: Singapura dilanggar todak. Ibu mertua Kasim Selamat mengamalkannya ketika berbohong kononya Sabariah sudah meninggal. Adolf Hitler dicap sebagai manusia paling jahat dalam sejarah (sedang Stalin yang berganda ganda jumlah yang dikorbankanya tersenyum berjabat tangan dengan Roosevelt). Kemajuan ICT sama selari dengan bercambahnya disinformasi. Kursus komunikasi di IPT masih dengan kelesuan untuk menanganinya. Ajaran Islam yang menyuruh umatnya menyiasat dan mengkaji sumber maklumat yang diterima seolah olah diketepikan (lihat kisah penipuan Protokol Pendita Zion Khalid Jaafar). Pimpinan pendapat bangsa pula melanjutkan agenda disinformasi perihal pakatan Yahudi. Pimpinan pendapat, opinion leaders, seperti tok guru, bekas PM, pensyarah, tok penghulu, tok batin dan sebagainya turut join sekaki. Teknologi Maklumat rupa rupanya bukan penyelesai disinformasi. Ia hanya satu alat umpama pisau yang tajam atas-bawah. pautan relevan:

19.6.06

Caca Merba Potpourri

oleh rastom |

Setelah berehat selama beberapa hari sambil mengulangkaji pelajaran bahasa Rusia, saya temui beberapa keanihan dalam sistem bahasa tersebut. Semua bahasa ada. Contoh bahasa Rusia, sewaktu menyatakan waktu. Dva chisa: Pukul Dua, Tri Chisa, pukul tiga tetapi bila masuk pukul lima, Chisa terpaksa berubah jadi chisu. Pelik betul! Bahasa Rusia berserabut dengan hukum nahu yang pada sesetengah orang Rusia sendiri jadi pening. Sama halnya dengan bahasa Polandia. Tatabahasa yang terlalu rumit membuatkan L. L. Zamenhof menerbitkan Unua Libro tahun 1887, yang menghasilkan bahasa Esperanto. Impian Esperanto tak kesampaian. Seorang rakan saya menulis kenapa beliau meninggalkan harakah Esperanto kerana terdapat unsur unsur negatif. Bahasa Polandia: Satu cabang bahasa Slavik. Sampai sekarang niat belajar bahasa Polandia tinggal niat sebab susah untuk mengingati nahunya. (Mungkin sel otak dah semakin kurang). Bab bab yang berkaitan jantina sudah cukup mencabar sama seperti bahasa Arab, bedanya bahasa Arab boleh kita anggapkan sebagai bahasa asing yang tidak asing. Setiap hari kita berbahasa Arab, tapi jangan ajak berbual. Bahasa Cina Mandarin juga buat saya teruja tetapi yang sering menewaskan pelajar diperingkat dewasa begini ialah huruf huruf Hanzi. Mana ada masa mau hafal kesemuanya? Pendidik bahasa Mandarin kata sekurang kurangnya hafallah 2,000 Hanzi yang lazim digunakan. Saya cuba 10 pun sampai sekarang tak melekat di memori. Bahasa Jerman: Setelah ditiup ilham dari buku teks Jerman yang saya "pinjam jangkamasa lama" dari Ustaz Khalid Jaafar, alhmdulilah sekarang dah boleh membaca (dengan bantuan Globalwoerterbuch). Ditambah pengalaman jadi pemandu pelancong tak berlesen semasa di Langkawi. Diwaktu pulau tersebut mula beroperasi sebagai pulau bebas cukai tahun awal 90'an memang Langkawi sasaran utama Urlauber dari Deutschland. Majoriti orang Jerman fasih bahasa Inggeris, cuma mereka kehairanan kenapa si Mamat ini galak sangat nak belajar bahasa Jerman. Wie lange hast Du Deutsch gelernt= Berapa lama sudah kamu Jerman Belajar? Itu soalan pertama bila saya mencuba kemahiran bahasa mereka. bersambung ke Caca Merba 2

16.6.06

Kenapa saya suka muzik jazz

oleh rastom |

Citarasa dan kemampuan menikmati lagu jazz tidak ada pada semua orang seperti mana tidak semua orang mampu menghargai karya seni lukisan abstrak dan yang konseptual. Format yang tidak terlalu abstrak(kerana keterikatannya pada norma amalan zamannya seperti lagu kelasik pun sukar dihayati kalau telinga tidak dilatih untuk keluar dari tempurung. Tempurung itu hijab yang membuat kita suka dan selesa kerana otak tidak perlu digerakkan untuk mengkaji sebab musabab kenapa begitu, kenapa begini. Tempurung ini mungkin diwarisi seperti mana golongan jahiliah sukar mengubah amalan nenek moyang mereka yang sekian lama bermastautin di dalam zon selesa mereka. Maka apa saja yang disogokkan di corong TV/radio dan dikatakan bagus, itu yang diterima. Anda dibebaskan dari tirani budaya pop yang sentiasa perlukan suntikan wang setiapkali seseorang artis menerbitkan album. Anda tidak perlu peduli lagu/ artis mana ditangga Top 40 Amerika atau Malaysia. Cukup hanya satu album jazz, anda boleh mengulang dengar berkali kali tanpa rasa jemu untuk selama lamanya. Saya boleh nikmati tiupan saksofon John Coltrane terbitan tahun 50'an hingga ke hari ini. Mau tau kehebatan John Coltrane? Saya hanya sekadar mengkagumi kemampuannya menerobos keluar dari amalan lazim struktur permainan, tidak seperti orang kampungnya yang mengangkat beliau menjadi nabi. Bagaimana cara mendekati Seni Tinggi (ikut istilah Puan Ainon) jazz? Seperti bidang seni yang lain, pertamanya ketahuilah bentuk dan struktur muzik. Jika anda biasa bermain alat muzik, kenalilah keseluruhan gamut kemampuan alat tersebut membunyikan sesuatu nada. Jika anda boleh menyanyi, kajilah setinggi mana suara anda dan nada apa yang paling rendah boleh anda dendangkan. Bidang seni sebenarnya mengajak anda mengenal dunia anda sepenuhnya. p.s. John Coltrane pernah menerbitkan sebuah album, sebuah karya impresionistik introspektif dan ada kalangan yang berpendapat ratib yang terdapat dalam lagu tersebut sebenarnya bukan berbunyi A Love Supreme, tetapi Allah Supreme. Segalanya mungkin, kerana dizaman beliau berkarya, ramai pemuzik jazz negro kontemporarinya dari kalangan Black Muslim yang tidak menggunakan nama Islam mereka. Gambar ilustrasi: Gonzalo Rubalcaba, pianis dari Cuba yang mencabar klise Jazz hanya ada di USA. Berjaya mencurahkan unsur unsur Afro-Cuba ke dalam dulang kontemporari, diayak mengikut rentak bebasnya jazz.

14.6.06

Tan Sri Dr Zaaba

oleh rastom |

Satu buku yang nipis tetapi isinya agak revolusioner pernah saya baca karangan Zaaba . Malangnya entah kemana perginya buku itu. Judulnya kalau tak silap saya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Itulah satu buku motivasi yang mendahului zaman, sebelum muncul pakar-pakar motivasi (ramai diantaranya kini mengajar anda menjadi jutawan). Gaya Zaaba cukup mudah dan berkesan. Artifak yang ada untuk mengenang Zaaba yang saya tau ialah Kolej Zaaba. Mungkin ada lagi dilain tempat. Alangkah baiknya kalau wacana Zaaba dan sumbangannya dalam membangunkan intelektual bangsa dapat dianjurkan. Nostalgia kepada Zaaba tercetus selepas membaca jawapan Anwar kepada Mahathir di mahkamah hari ini. Satu episod yang tak termasuk dalam dokumen tersebut tetapi entah rasanya ada kaitan dengan integriti ajaran Zaaba ialah sewaktu Abdul Hamid Omar (ada bau bacang dengan aku) kata dia terpaksa akur titah Raja, untuk menjadi khalifah Tribunal tersebut,walaupun tindakannya melanggar etika.

13.6.06

Semakin menarik!

oleh rastom |

Bandingkan: You're either with us or against us in the fight against terror, oleh Ustaz Bush dan satu petikan dari ummahonline.com ., yang berbunyi Segala macam penolakan Khilafah, sesungguhnya terbit dari satu paradigma saja, iaitu sekularisme, tidak ada yang lain. ( perlu dibaca dengan aksen indon pekat) ....ada asonansi

12.6.06

Open Source dan Keberkatan : Finale

oleh rastom |

Dua puluh tahun dulu Lewis Hyde menulis The Gift: Imagination and the Erotic Life of Property kembali menemukan kita kepada kemuliaan memberi tanpa mengharapkan balasan. Dasar Ekonomi Baru yang dimaksudkan pada entri yang lalu ialah Gift Economy yang bercambah lalu mengesani aktiviti kreatif para pengusaha sofwer Open Source. Kata Richard Barbrook , Ekonomi Baru yang berkembang di ruang siber itu satu bentuk demokrasi sosial yang canggih. Walhal, jika diteropong ke dalam budaya kita sendiri, sudah lama ada, "memberi lebih baik dari menerima", cuma malangnya ayat itu tidak di konsepsikan menjadi satu teori yang canggih lagi meluas aplikasinya. Kenapa zakat fitrah dikatakan satu usaha membersihkan atau mencuci harta? Dianjurkan pula supaya kita merasa puas jika berkemampuan mengeluarkan zakat. Dalam ekonomi kapitalis sebaliknya kita berusaha mengelak dari membayar cukai atau mencari jalan untuk mensifarkannya dalam borang taksiran. Sebagai rumusan, senggol senggolan saya perihal Open Source dan Keberkatan bermaksud menonjolkan hakikat, ada fikrah Barat yang terselindung dari arus perdana komersialisme yang boleh menemukan kita balik kepada jatidiri budaya sendiri yang belum digali dengan semangat jahada (bukan jihad ekonomi yang antah berantah ). Pautan relevan: The High Tech Gift Economy The Gift Economy

12.6.06

Open Office dan Keberkatan II

oleh rastom |

Falsafah aktivis sofwer OS menyimpang dari arus perdana dunia perniagaan konvensional. Dunia internet mebiakkan satu budaya yang percaya kepada memberi nilai kepada perkembangan ilmu tanpa terlalu berkira dengan pulangan kewangan. Yang diutamakan ialan memberi serta menambah nilai (nilai tidak disama ertikan dengan wang). Antara mereka yang cenderong agama mengharapkan bertambahnya karma points. Contoh: Gutenber Project yang berusaha menghimpun kesemua karya yang luput hakcipta untuk kemudahan umum secara percuma. Wikipedia berusaha mewujudkan satu e-ensiklopedia yang boleh dirujuk secara percuma. Rakan saya tanya, apa untungnya? Jawabnya, izinkan saya singgung sedikit dari entri Puan Ainon Penulis Sepenuh Masa adalah Bisnesman bab 8. Pandai memberi kerjasama dan 11. Pandai Memenuhi Keperluan Orang Lain. Tiada beda dengan dunia akademik, hasil penyelidikan dibentangkan di konferens, simposium dan jurnal. Nilai seseorang akademis meningkat dengan bertambahnya citation sumbangannya. Prestij dan ketrampilan yang diakui inilah modal yang bakal menarik sumber dana dan peluang naik pangkat, dunia akademik bertambah lestari bila ilmuan lain turut mendapat faedah dari hasilan kita yang asalnya dikembangkan dari titik peluh penyumbang terdahulu sebelum kita. Perkongsian pintar dari dunia menara gading inilah tradisi Open Source! Bersambung.......selang seli dengan air masak kosong, kahwa tak boleh banyak sangat. Kita diajar "tangan diatas yang memberi lebih mulia dari tangan dibawah yang menerima". Ungkapan ini rupa rupanya telah membuahkan satu teori Dasar Ekonomi Baru di Barat, bukan DEB Malaysia.. Apalkah DEB itu? Tunggu ya, jangan tak tunggu.

11.6.06

OpenOffice dan Keberkatan

oleh rastom |

Di Universiti Terbuka saya temui perbualan mengenai topik yang menarik. Penggunaan sofwer Open Source dan Harta Intelektual. Saya setuju kalau kita beralih menggunakan Openoffice (OO) kerana beberapa faktor lain termasuk status tanpa lesennya. Faktor lain ialah kurang songehnya berbanding yang satu lagi. (Malas nak sebut nama sebab dah lama tak gunakan jenama itu). Gambar disebelah ialah Lawrence Lessig. Dari faktor sejarah undang undang yang berkaitan copyrights, patents dan trademarks, undang undang ini bermula dengan hasrat menjaga kepentingan para pemodal dan pencipta/karyawan dalam sistem kapitalisme yang baru tumbuh gigi di Eropah kemudian beralih pusat pembiakan kapitalis ke Amerika Syarikat. Korpus undang undang yang kita pakai di mahkamal sivil adalah dari ibu kapitalisme. Ada semacam batu penghalang yang diwujudkan didalamnya yang bermaksud menjaga kepentingan pemodal (atau karyawan dibawah naungan pemodal) dan meminggirkan pihak lain. Masalahnya, undang undang ini wujud seperti kain gebar yang menyelimuti kesemua bidang tanpa rincian untuk kerja kerja mengembangkan ilmu. Bila teknologi seperti ICT meledak, ia mengesani banyak bidang muamalat kita termasuk ehwal copyrights. Microsoft pandai manipulasi dan membiakkan bisnes guna kain selimut Intellectual Property. Ditirunya sistem Windows dari Apple Mac dengan sedikit modifikasi. Diambilnya code code tertentu dari sumber Open Source tanpa kredit diberikan. Asal usul internet bermula dari kerja mengkaji bukan berdagang, tetapi justeru membiak di alam kapitalisme, lambat laun wahananya turut membantu dunia dagang. Pun demikian, cuma grup e-dagang yang faham tabiat semulajadi internet sahaja yang berjaya, bukan jenis e-dagang totok yang hanya mau jual-jual-jual tanpa keuntungan dua hala. Bersambung selepas secawan kahwa.. Open Source bukan satu rujukan muktamad kepada satu benda atau perkara. Ada fahaman Richard Stallman, dan lain pula halnya dengan grup Creative Commons Lawrence Lessig. Kedua duanya dan beberapa nama lain amnya mencabar kekangan peruntukan dalam undang undang copyrights yang bersangkutan sofwer. Saya lebih terdorong untuk menyokong gerakan Open Source kerana ia lebih memihak kepada usaha mengembangkan ilmu dengan penggunaan sofwer, bukan mengembangkan akaun bank pencipta sofwer. Jika diikutkan kepala otak Bill Gates dan rakan rakan, dominasi dan monopoli sofwer tidak akan memupuk perkembangan ICT seerti yang ada sekarang. Contoh: server web yang membawa data kepada PC anda sekarang kebanyakkannya dijana oleh Apache, satu sofwer Open Source. Sikap keterbukaan aktivis Open Sourcelah yang memungkin ledakan informasi - contoh: Blogger.com memberi ruang percuma kepada saya dan ramai lagi. (Walapun selalu kantoi, sebab terlebih langgan). Saya belum lagi masuk bab keberkatan dalam mengguna sofwer. Mungkin selepas secawan kahwa lagi.......

Khalidjaafar.org menjolok sarang tebuan yang sedang dalam proses bikinannya di Malaysia. Hujahnya sudah saya baca di ummahonline.com, Mengingatkan saya kepada fenomena yang sering berulangkali menimpa orang Malaysia, Melayu khususnya, yakni fenomena sekim cepat kaya (SKC). SKC itu satu idea dan idea dipromosikan kepada umum yakni manusia yang memerlukan sesuatu untuk memenuhi atau mengisi sesuatu keperluan. Dengan masyarakat Melayu, idea yang bersalut agama boleh dijamin kelarisannya. Pak Man Telo dulu pun menjual ideanya untuk membantu orang Melayu/Islam. Akhirnya bantuan rupa rupanya bantuan mengosongkan wang simpanan kita. Saya tidak pernah tertipu dengan apa apa SKC, sebab itu sampai sekarang tak kaya. Saya melihat usaha merealisasikan Hibut Tahrir, menghidupkan semula sistem khilafah sebagai satu usaha mewujudkan semula satu sistem monolitik yang dari segi saintifiknya seolah seperti satu gostan. Dari urutan sistem manusia menyusun tadbir urusannya yang monolitik dilihat dalam sejarah menemui kehancuran. Lihat sistem Osmaniah. Sistem Empayar Roman Katolik, Komunis di Rusia dan China, lihat juga Empayar Melayu, Srivijaya dan Majapahit. Semua itu idea sistem monolitik. Dalam sains komputer, sistem monolitik akhirnya terpaksa dirombak menjadi sistem kecil yang di panggil microkernel, supaya lebih mudah diurus. Satu Malaya yang monolitik (Malayan Union) ditolak akhirnya jadi persekutuan. Nampaknya warisan megalomania Mahathirism juga dianuti oleh aktivis Islam masakini.

9.6.06

tiru macam saya? jangan!

oleh rastom |

Kemuncak kultur menongkat langit sudah sampai ke tahap tepu. Era mediokriti bakal disuluhi oleh teknologi maklumat yang semakin hari semakin menelanjangi kebahlolan yang diselaputi aura yang penuh glamor janaan media konvensional. Lembaga hegemon yang dulunya ketika aku berkuasa sudah tidak seperti dulu. Aku suara tua dipinggir senja.

powered by ODEO Wayang kulit Kedah banyak melakukan improvisasi. Jalan cerita dan watak disesuaikan dengan suasana kontemporar. Wayang Kelantan, Jawa atau di Thailand masih mengekalkan watak watak asli seperti Hanuman dsb. Kerana corak kekiniannya wayang kulit Kedah, kumpulan ini masih mendapat sambutan di kawasan utara. Isu isu terkini seperti dasar kerajaan dan gelagat Mat Rempit menjadi tema persembahan. Pernah mewakili negara ke persembahan seni budaya antarabangsa di Eropah. Bahasa Melayu loghat Kedah digunakan pada dialog intro. Dalam loghat Kedah pula terbahagi kepada beberapa sub-dialek. Yang digunakan oleh Pak Majid dalam audio ini adalah dialek yang biasa digunakan di sekitar Changlun, Hosba, Napoh yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Bahasa kedua masyarakat wilayah ini bukan bahasa Inggeris tetapi bahasa Thai. Sawadde Kap!

4.6.06

Puan Ainon, PTS dan Amazon

oleh rastom |

Terima kasih kepada Puan Ainon diatas kesudian menjengah masuk. Ada banyak perkara saya pelajari dari beliau (termasuk laman web/blog PTS dan Sastera Islami. Saya selalunya hilang fokus bila memblog sesuatu, ikut rasa.Blog terdahulu dalam BI sepatutnya dimasukkan ke satu ruangan khas yang satu lagi yang telah saya sediakan: AUDIOBAHASA. Sumbangan puan dalam kedua dua weblog puan tersebut di atas tadi saya kira satu milestone dalam pustaka blog bahasa Melayu. Belum ada yang komprehensif begitu. Menepati kehendak zaman dan memang kena dengan kehendak e-dagang yang berlandaskan C->T->P->M. Apa itu CTPM? C merujuk kepada Content. T kepada Traffic, P ialah Presell dan akhir sekali ialah M untuk Monetize. Itulah caranya e-dagang beroperasi. Begitulah juga caranya kebanyakkan portal e-dagang yang berjaya beroperasi. Cuba perhatikan, faktor wang (monetize) berada di susunan terkebelakang, sementara untuk organisasi yang gagal berE-dagang dalam internet walaupun berbelanja besar gagal kerana meletakkan faktor wang, dan jualan dihadapan. Buka saja laman terus letak harga barang. Sifat pengguna internet dikenalpasti diseluruh dunia sebagai makhluk dahagakan info. Dari info yang diberikan lahirlah kepercayaan. Tak kenal maka tak cinta. Kenapa Google berjaya sedangkan mereka tidak menjual apa apa? Google tahu orang suka mencari maklumat dan ia menjadi portal carian terunggul. Terlalu berkesan sehingga namanya Goggle menjadi satu derivatif. Cubalah kau Goggle tengok....tentu ada ..Dari kejayaan Google kita boleh buat rumusan bahawa manusia sentiasa mencari maklumat. Puan Ainon sudah mulakan sesuatu yang menepati skima asas e-dagang. Blognya punyai maklumat yang dicari. Kepercayaan dan traffic sudah ada, langkah seterusnya beliau perlu mengkaji dan melihat sistem yang berjaya dilaksanakan oleh Amazon.com .Mereka bukan sahaja menjual buku, malah sorotan buku oleh pengunjung lamannya juga menjadi daya penarik kepada pengguna lain yang dahagakan info. Dengan sedikit pelaburan ke arah ini saya kira Puan Ainon mampu membawa satu pembaharuan. Ingat, mereka juga mengharapkan cek cek kecil.

1.6.06

malay sounds and spelling

oleh rastom |

Like English, the Malay alphabet has 26 letters, modern Malay that is, although you may even write the language with Arabic script. I am not going into the scientific method of using phonetic symbols here. No IPA's. This is a beginner's course which is meant for all kinds of learners - so I'll just use the normal alphabet. a is the language's lifeline. If you are familiar with French a in pas, or German a in Man, half the battle is won. The sound dont' change anywhere you put it. ai : say the English word eye! au: If you can say How, Now, Cow? b: As in English b c: Can you say cha-cha? We can say that without the h. ca-ca d: the same as in English e: big problem here! Let's learn the first form. French thé has that sound, so is German Tee e: like the first syllable in English ago. f: g: get going go, go gorillaz f: foo fe fie fo fum, no change as in English i: Eternally sounds as in the vowel in sit That's it for now. Watch this space, we'll have audio sounds to help you get by in Malay in no time. I'll continue later. Meantime, if you click the link below, you'll be directed to the sound file of a news bulletin (Berita) in Malay. There's a transcription attached. Have fun!Ciao!
powered by ODEO Transcription:

Assalamualaikum.... Bersama saya Junaizah dalam Berita Nasional RTM: Sari Berita: Minda yang bebas daripada penjajahan mampu menjana pemikiran lebih kreatif. Bilangan bakal guru akan diterapkan bagi mengelak lebihan. 35 anggota polis antara yang terbunuh dalam serangan kumpulan penjenayah di Brazil. BERITA SEPENUHNYA: Generasi masakini perlu meluaskan minda dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mampu muncul sebagai manusia yang relevan. Ini ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, minda yang bebas daripada segala bentuk penjajahan mampu menjana pemikiran aktif dan berdaya saing, seiring dengan era globalisasi yang semakin mencabar. Sebaliknya, gaya hidup yang berpaksikan perkara yang tidak relevan hanya akan menjadi sesuatu bangsa itu mundur dan jauh tercicir. Beliau berkata demikian ketika bercakap merasmikan sambutan Hari Keluarga Umno Cawangan Kampung Landak di Pekan, Pahang.