bahasa duniawi...

membina kitab menyuluh dunia Orwelliah

Sebagai rakyat yang patriotis lagi demokratis, saya sangat tasammuh dengan aktiviti kesukanan walaupun memang terkenal sebagai kaki bangku dari zaman persekolahan. Pun demikian, kaki bangkuku hanyalah dipadang. Di dalam air samada laut atau sungai kaki bangku ini punyai sedikit kelebihan. Sukan air di kolam renang tidak ramai partisipasi Melayu. Tahun 70'an di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar hanya dua orang, aku dan seorang budak Perlis, Azhar Mansor. Dia keliling dunia dengan bot dalam zaman megalomania. Ah! Itu sudah cerita lain. Cerita Sukma XI lah pulak. Belanja mengurus Sukma cukup besar. Tiap kali venue berubah, setiap negeri berusaha menyaingi negeri sebelumnya. Rakanku Ah Beng, seorang mekanik kata lebih baik buat di Bukit Jalil. Aku setuju dan rasanya rakyat Malaysia pun setuju. Sepatutnya kita sudah mampu melahirkan lebih ramai atlit yang bertaraf pingat emas bila berlawan dengan atlit (rantau ASEAN pun dah cukup)dengan belanja yang begitu besar. Tetapi hasilnya tidak. Dengan sedikit bantuan Sokrates aku dapat meneka bahawa SUKMA sebenarnya satu bisnes untuk mereka yang ada network dengannya. Sukan hanyalah sisipan yang dijelmakan sebagai hidangan utama. Yang mahal dalam menu SUKMA sebenarnya sambal, ulam dan papadom. Tali lebih mahal dari lembu.