bahasa duniawi...

membina kitab menyuluh dunia Orwelliah

31.7.06

Bicara Terjemahan :

oleh rastom |

Arthur Conan Doyle tidak menulis seperti Agatha Christie. Meskipun kedua duanya tergolong dalam satu niche atau genre. AC Doyle pekat lenggok British fesyen lama, Agatha Christie lebih moderen. Untuk meMelayukan bahasa Doyle ada banyak jerangkap samar. Ramai penterjemah kitab Arab ke Melayu hingga kini terkurung dalam perangkap "setia kepada bahasa asal' sehingga maksud terjemahan mengelirukan. Hujah hujah mengenai perangkap ini sarat terkandung di Universiti Terbuka dan Sastera Islami yang tak perlu saya ulangi disini. Proses menterjemah bukan setakat pindahan harfiah. Ayat, gaya dan kosa kata Conan Doyle bukan jenis yang diajar disekolah. Gaya bangsawan dan tidak kontemporari. Maka saya ibaratkan proses terjemahan untuk karya lama ini sama seperti proses memasak ikan lampam British. Yang saya sediakan didalam entri yang sebelum ini hanyalah ikan yang baru dibuang kulit dan sisik Inggerisnya. Baru digaulkan garam kunyit kampong. Belum digoreng dengan minyak kelapa sawit Malaysia lagi. Bau rempah melayu ajaib betul, sampai ada yang terus meratah ratah ikan mentah. Ah, jelas kenapa Syarikat India Timur dan VOC sanggup berperang kerana rempah. Jalan mudah bikin terjemahan, seperti mana mudah masak ikan ialah dengan melemparkannya terus kedalam periuk. Kemudian dihidangkan dengan nasi serta sambal belacan. Nasi melayu juga tetapi ada sikit bau hanyir bukan? Buku buku hanyir Inggeris ( hanyir Arab juga ada) sudah banyak menyiksa. Penderitaan saya bukan alang kepalang. Duit saya habis, bertambah keliru selepas membaca. Nota: Sdr Mansor Mat Saman pernah berpesan. Kalau hendak makan nasi di kedai jangan sekali kali pergi ke Kedai Makan Melayu. Bahaya!

30.7.06

Sherlock Holmes Kedah

oleh rastom |

Puan Ainon Mohd memulakan sesuatu yang cukup menarik di blognya. Menterjemah bukan mudah. Aku lebih selesa dengan loghat Kedah. Berikut ialah versi Kedah untuk ujian terjemahan yang terdapat di lamannya.

Holmes dah lama aku tak jumpa. Sejak aku bernikah aku rasa semakin renggang dengan dia. Bahagia yang aku rasa sejak berbini dan rasa gagah jadi ketua rumah buat aku selalu sebok, tapi Holmes, dengan perangai dia yang tak suka berguil dengan orang, la ni dok lagi di rumah kami di Baker Street, bergelumiang dengan buku buku buruk, sambil dok lawan ketagih candu, sambil dok layan angan angan besaq. Lagu manapun dia teruih juga minat dok kaji jenayah. Dengan penuh jiwa raga dia cuba cari jejak jejak, sambil usaha selesai semua misteri yang polis tak boleh buat. Kadang kadang ada juga aku dengar cerita pasai dia; dia kena pi Odessa pasai kes bunuh Trepoff, dia bongkaq tragedi adik beradik Atkinson di Trincomalee, dan berjaya selesai masalah yang dok buat penin kepala keluarga diraja Belanda.

26.7.06

sedikit kewarasan dari akhbar yahudi

oleh rastom |

Haaretz.com akhbar dari Israel menyiarkan satu artikel yang menyalahkan tindakan menyerang Lubnan dan satu NGO Yahudi di USA Brit Tzedek v'Shalom menyeru USA bertindak segera wujudkan gencatan senjata. Ada beberapa petunjuk dari membaca akhbar Yahudi itu menjelaskan kenapa negara Arab seolah olah membisu. Mereka rupa rupanya tidak menyenangi kehadiran dan kegiatan Hezbollah. Mungkin kerana Hezbollah ditunjangi Iran yang bukan Arab?

23.7.06

Dasar Kesusasteraan Kebangsaan

oleh rastom |

Sudut pandangan dari dua generasi ......

MOHD. AFFANDI HASSAN kata: Jika kita lihat realiti politik ini dalam konteks dasar kebudayaan tadi, maka kita dapati apa-apa dasar yang tidak cocok dengan kemahuan politik akan diketepikan secara terang atau tersembunyi untuk memastikan kelangsungan kemahuan politik tadi. S.M. Zakir kata: Pada masa yang sama kesedaran ini muncul bukan kerana perasaan terancam atau terdesak tetapi jelas merupakan a modicum of intelectual effort yang meraikan perkembangan pemikiran dan intelektualiti. Dasar Kesusasteraan Nasional bukan kotak sempit. (Editor Utusan akan saya jemput ke Seminar Dasar Redaksi Kebangsaan nanti...)
Pesimistik dan optimistik. Apalah diharap padi seberang. Usaha menambahnilai seni budaya bangsa elok dipelajari dari gerakan persatuan bahasa Cina, janganlah diharap kepada kerajaan. Lain diharap lain yang jadi.

22.7.06

Siapa Sokong Israel

oleh rastom |

Andaikan krisis Arab-Israel sebagai luka yang tak akan pulih kecuali.........., sebelum diberi apa apa cadangan lihat dulu siapa SOKONG Israel, siapa pula setuju dengan gencatan senjata.

Stephen King, anda tentu kenal siapa dan apa yang beliau hasilkan. Yang ngeri, seram, tahyul, abnormal, gila, hantu, ada belaka. Kuliah ringkasnya di SINI. (English only). Yang pertama dalam senarainya ialah BAKAT Pak!

Suami: Alhamdulillah, menikah juga akhirnya... Isteri: (mendengus) uh! pilihan yang tepat konon, yelah, datuk K tu kan banyak duit Suami: Siti pun bukan miskin sangat, duit nyanyi dia pun banyak, abang rasa memang cinta sejati Isteri: Cinta sejati ? Ambil laki orang..... Suami: (mencelah secepat kilat) Ish! Bukan dia ambil laki oranglah, laki orang yang ambil dia! (grafiks asal pencipta lebih cantik, di "pow" dari weblog oraet.com)

Pustaka Nasional sudah mulakan. Ini satu contoh bagaimana podcast digunakan untuk dunia penerbitan. Siapa akan mulakannya di Malaysia?

17.7.06

Podcast Bahasa Melayu!

oleh rastom |

Apa itu podcast? Apa perlunya, bagaimana, dimana, untuk apa, untuk siapa? Nantikan kehadirannya selepas secawan kahwa dan nasi berlauk tomyam udang dan telor goreng sebentar lagi....... 1. Podcast: Perkataan pod diambil dari produk Apple yang dinamakan iPod, alat pemain dan perakam mp3. Perkataan cast asalnya dari broadcast, menyiar, biasanya merujuk kepada siaran radio dan TV. Teknologi podcast adalah lanjutan perkembangan internet dan tambahan unsur audio ke dalam browser anda yang selama ini hanya menyiarkan bahan seperti teks dan grafik kaku. 2. Perlukah ada podcast? Jawabnya ialah, perlukah ada radio? Sekurang kurangnya ia berguna untuk mempelajari bahasa. Dengan podcast, anda boleh ikuti perbincangan, ulasan menarik tanpa menunggu siaran radio (yang sekarang ini cukup memuakkan telinga). Anda sendiri pilih apa bahan yang anda ingini. Anda boleh pilih apa saja di Podcast Bunker , Podcast Directory, iPodder, atau ke Podcast Alley. Kesemua podcast yang diterbitkan boleh dilanggani secara percuma. 3. Bagaimana: Untuk mendengar podcast (bahan selalunya dalam format mp3 yang boleh di muat turun terus, tetapi budaya podcast ialah "melanggan") dengan mengguna sofwer khusus untuk menguruskan podcast tersebut. Sofwer yang saya gunakan dan mudah dikendalikan ialah iTunes, sekarang sudah versi 6.05 untuk Windows. 4. Untuk Apa?: Untuk apa anda bercakap? Menulis? Anda boleh berceramah mengenai apa saja topik dan suara anda boleh dikutip oleh sesiapa saja didunia. Mengulas buku, berkempen untuk calon parti Tupperware, mengkritik (atau memuji) blog saya, mempromosikan kelebihan poligami, menyuarakan rintihan cinta atau apa sajalah. 5. Untuk Siapa? Kepuasan diri, untuk mempromosikan bisnes anda sebagai seorang penceramah skim cepat kaya, untuk menonjolkan bakat anda sebagai seorang pengacara. Jika bahan podcast yang anda terbitkan mendapat sambutan ramai, pastinya akan ada pengiklan yang berminat. ....jangan lupa, ada sambungan.....

khalidjaafar.org memulakannya. Saya hanya melihat hujah pro-kontra. Melihat dari sudut bukan siapa pandai kerana menurut Puan Ainon logik Zaaba yang saya gunakan sukar dipertahankan. Secara defensif saya katakan pandai tidak sama dengan hikmah. Manusia boleh jadi semakin pandai tetapi berkurang hikmahnya. Yang pandai boleh bermain silap mata kepada yang jahil atau kurang pandai, tetapi jauhari juga yang nampak dimana manikam. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, satu babak ketika trio mencari pekerjaan. Sudin: Hoi! Bai, di sini ada kerja kosongkah? Jaga: Apa hoi hoi? Melayu tarak bahasaka? Sudin beredar, kemudian kembali hampiri jaga tersebut. Sudin: Tuan Singh, saya mau tanya...... Jaga: Saya bukan Tuanlah...... Mesej P Ramlee jelas disini. Sirna glamor ketokohan seseorang yang digilap jentera media massa mampu menonjolkan orang yang kurang budi bahasanya sebagai seorang tokoh yang membela bangsa, bahasa dan budaya. Saya tercari cari dimana sudut kreativiti Kemelayuan atau Kemalaysiaan dalam kebanyakkan artifak mega yang menjadi kebanggaan negara seperti Kompleks Putrajaya. Nada! zilch! nichivo! Yilek! ----> Boulevard? Precinct? Palace of Justice? Maa maa'na ya sheikh? Kekacauan melimpah turun ke nama jawatan perkhidmatan awam pula, kini sudah ada Cif Inspektor, Rakan Cop (ingat, dulu ada Tonik Cop Gadja).....terkini saya lihat sudah ada jawatan agen penguderait (underwriter agent). Selamat maju jaya DBP!

15.7.06

Bakat PAK!

oleh rastom |

Apakah anda berbakat untuk melihat insiden Zidane menanduk dari pelbagai sudut? Persepsi manusia berbeda mengikut apa yang mereka mau lihat . Lain padang lain belalang...

14.7.06

Bakat PAK! :- Senario Osmaniah

oleh rastom |

Era gemilang khalifah Osmaniah tidak abaikan unsur unsur bakat dalam menyaring calon yang inginkan jawatan di mesjid. Berikut saya perturunkan apa yang saya pernah temui dari blog Anisah:

Position of Imam of the Grand Mosque in Istanbul (the Ottoman Empire).

  1. To have mastered the languages of Arabic, Latin, Turkish and Persian
  2. To have mastered the Qur'an, the Bible and the Torah
  3. To be a scholar in Shari'ah and Fiqh
  4. To have mastered physics and mathematics up to teaching standard
  5. To be a master of chivalry, archery, duelling and the arts of Jihad
  6. To be of a handsome countenance
  7. To have a strong melodious voice
Beberapa persoalan boleh kita kemukakan, lalu simpulkan kenapa dunia seni kita jadi lesu hari ini, walaupun punyai teknologi yang lebih canggih berbanding era Osmaniah.

13.7.06

Bakat PAK! 2

oleh rastom |

Pagi tadi saya temui tulisan NOOR AZAM, Isi tekad perjuangan bahasa Jelas dan faham jadinya saya apa yang sedang berlaku. Sebagai orang luar saya tidak mampu mengulas lebih dari apa apa persepsi yang saya dapati dari tulisan beliau. Pedas dan mengena. NOOR AZAM saya ambil sebagai satu contoh bakat yang diasah tanpa rasa jemu. Kayu ukur saya menilai beliau ialah dari kesan bacaan kesemua tulisannya semasa beliau menulis untuk Dewan Masyarakat. Gayanya mudah, tepat dan padat. Tulisannya kini jarang ditemui. Apakah beliau tidak lagi mempraktikkan PAK ke atas bakatnya itu ataumungkin sudah kaya raya? Guna dan Salahguna Bakat Bagaimana bakat seseorang itu boleh disalahgunakan? Sebelum itu saya mau alih pandangan sedikit. Dari sebuah kitab Farsi A'in-e Negaresh, Hosein Sami'i menjelaskan,.......

pengarang mestilah terlebih dahulu berusaha memilikki nilai-nilai terpuji pada akhlaknya. Wajar ada padanya keindahan rupa bentuk dan kesempurnaan makna, warak dan kawal nafsu, jujur dan ikhlas; mengadun karyanya dengan kebenaran serta memperelokkannya dengan logika dan berhemah; kawal lidahnya dan penanya dari hal yang mengarut; berusaha menjaga rahsia; berusaha menanamkan keyakinan pembaca; jangan menulis hal yang tidak benar; dan jangan memuji pada yang bukan patut dipuji. Pujian berlebihan bisa menjahanamkan Kesenian Tinggi.
Contoh salahguna bakat (penulisan) . Penulis upahan yang ditugaskan untuk memuja-muja seseorang tokoh, atau mengeji dan memfitnah seseorang. Kerja seperti ini berleluasa ketika hampir musim pilihanraya atau musim memilih seseorang ke sesuatu jawatan. Amalan begini berlaku semenjak era pra - Islam lagi. Adalah tidak masuk akal bagi seorang penulis yang pada satu ketika saya temui beliau dalam keadaan cukup dhaif tiba tiba menjadi kaya hanya kerana beliau mengambil upah menulis sebuah buku yang memburukkan seseorang. Wang yang diterima bukan dari hasil jualan buku tetapi dari upah menghasilkan satu manuskrip. Wang tidak lagi bermakna bila datang sakit dan kemudian tiba pula jemputan malaikat maut. Soal moral dan baik buruk kesan dari hasil tulisan tidak menjadi fokus mana mana institusi yang mengajar penulisan. Anda diajar teknik, sedikit sejarah dan hal hal berkaitan seni dan budaya. Dengan kemahiran teknik menulis, tidak mustahil anda boleh menghasilkan beberapa buah novel fiksyen cinta dan sebagainya dalam tempoh masa yang singkat. Peringatan Hosein Sami'i di atas bermaksud mengangkat taraf penulis dari menjadi hamba $ kepada tingkat yang lebih mulia ...bersambung

12.7.06

Bakat PAK! (Pupuk, Asah Kembang)

oleh rastom |

Teropong akan saya halakan ke bab bakat. Bab ini mungkin antara yang paling ringkas (jika saya tidak berbakat) atau bakal terpanjang sekali jika sebaliknya. Senario satu: Ahmad punyai suara yang lunak merdu bagai buloh perindu. Ada gaya penyanyi, mirip suara P. Ramlee. Suatu hari dipersembahkan nyanyiannya diiringi musik karaoke. Muzik bermula dengan intro dan senikata pun turut muncul dilayar. Ahmad pun mula berlagu mengikut senikata baris demi baris seperti adanya. Suaranya yang lemak merdu bergaung nada bes bersimpang siur dengan rentak. Irama dan lagu berpisah. Suaranya berkecamuk dalam alunan yang rentaknya menagihkan keharmonian. Ahmad rupa rupanya cuma ada suara - ritma, satu faktor penting dalam lagu tiada. Bolehkah diajar apa itu ritma? Senario kedua: Bedah suka memasak. Banyak resipi telah dikumpulkan hingga berjilid jilid. Pantang jumpa saja resipi, dicatitnya. Alat kelengkapan dapur semuanya ada, sebut saja apa jenis cooker, ketuhar gelombang, blender itu ini, ada belaka. Satu hari dijemput kesemua rakannya kerumah untuk menikmati masakannya. Itulah hari paling bersejarah (yang pertama dan terakhir) rakan rakannya menikmati masakannya. Senario ketiga: Buyong bercita cita besar ingin jadi pengarang atau novelis terkenal. Berbagai kursus, bengkel dihadirinya. Sampai peringkat ijazah pula pengajiannya khusus bidang penulisan. Akhirnya dia hanya jadi seorang wartawan yang kerjanya mencatat apa orang besar besar kata atau buat. Tiada novel atau apa bahan kreatif yang beliau hasilkan. Kerjanya setiap hari menghadiri sidang akhbar disana sini. Dengan tiga senario itu, mungkin ada banyak lagi yang boleh kita selongkar dalam teropong bakat ini PAK! , saya mengajak anda, pengunjung yang setia, yang aktif dan tak aktif sama sama menangani isu yang semakin hari semakin dipinggirkan demi mengejar masa dan ringgit. Bakat atau apa apa mengenainya tidak ada di ajar atau di PAKkan disekolah rendah, menengah atau IPT. Hanya guru yang berbakat sahaja yang mampu, itu pun sekadar merangsang - dan malangnya rangsangan itu bakal dimusnahkan pula bila bertukar guru.

Nampaknya tiada apa yang baru, segar dan memberangsangkan dalam pelan memajukan pelancongan. Idea lapuk yang terkini saya dengar ialah tumpuan kepada "night-life' seperti melanjutkan waktu operasi pusat hiburan. Kecenderongan kepada hiburan begini boleh dilihat sebagai manifestasi peribadi orang yang mengesyorkannya. Dianggapnya sejumlah besar pelancong inbound ke sini dahagakan hiburan seperti yang disediakan di kelab kelab malam disko dan sebagainya. Apakah faktor yang menarik orang luar datang ke Malaysia? Pengalaman saya semasa di Langkawi sebagai pemandu pelancong meyanggah kesemua idea idea basi yang mengatakan pusat pusat hiburan begitu perlu untuk meningkatkan pelancongan.

  • 1. Tempat asal mereka (pelancong) punyai serba aneka hiburan yang lebih brutal!.
  • 2. Mereka mengkaji terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk ke sini dan faktor kelebihan yang kita ada ialah cuaca panas (untuk mereka yang melarikan diri dari winter). Kos chalet dan hotel yang murah.
  • 3. Faktor aman damai tenteram dan alam sekitar semula jadi. Faktor ini sudah mulai pudar terutama sekali di Langkawi bila proses gila membangunkan hotel chalet dan serba aneka yang bukan bukan bermula. Tahniah kepada Tun Mahathir juga kerana membawakan pembangunan yang berjaya memadamkan Langkawi dari radar populariti pusat pelancongan dunia. Hutan menghijau dengan sekelip mata bertukar menjadi hutan konkrit.
Mungkin ada yang fikir status bebas cukai Langkawi atau mana mana tempat di Malaysia mampu menarik pelancong. Kepada mereka yang belum pernah keluar Malaysia mungkin teori ini boleh dijaja, hakikatnya konsep bebas cukai untuk menarik pelancong telah dipraktikkan di beberapa tempat diluar negara dan maklumbalas yang saya terima dari pelancong ialah harga barangan di luar sana lebih murah. Satu lagi bid'ah teori menarik pelancong yang berleluasa dalam minda penggubal dasar di negara kita ialah kebebasan menjual arak. Maklumat yang saya terima dari para wisatawan yang pernah ke Kepulauan Maldives cukup kuat untuk ditegaskan di sini bahawa walaupun arak atau sebarang minuman keras tidak "dibebaskan" seperti di sini, jumlah wisatanwan yang mengulangkunjung ke pulau tersebut tidak pernah berkurangan. Langkawi dengan segalanya "dibebaskan" semakin merosot jumlah ketibaan pelancong. Kenapa? Why...Why Why?

8.7.06

rak buku maya 4

oleh rastom |

O'Reilly - nama unggul dalam penerbitan buku teknikal khusus mengenai komputer, pengaturcaraan, web dan internet. Kesemua bukunya boleh diperolehi dalam bentuk hardcopy dan versi elektronik. Ungkapan slogan terbitan mereka "by and for smart people," ada kebenarannya. Smart people dikalangan karyawan IT telah melambakkn kesemua versi elektronik diruang siber dan sesiapa saja boleh muat turun mana mana tajuk yang diperlukan, secara gratis! Mungkin kejayaan pasaran sektor hardcopynya kepada pihak lembaga pendidikan dan perpustakaan seluruh dunia jauh lebih menguntungkan maka tidak terasa olehnya kerja subversif penglanunan. Walaupun rak buku maya peribadi saya boleh bertambah secara gratis, ada sesuatu aspek psikologi yang merasakan ada kekurangan jika tidak dapat menjamah buku tersebut secara fizikal. Saya tidak dapat menyelak nyelak, menambah catatan atau melakar contengan keatas helaian versi elektronik. Saya cuma dapat tatapi isinya, tidak boleh dijadikan teman sebelum melelapkan mata.Untungnya, saya jimat RM80 untuk senaskhah buku tersebut. Kenapa terlalu mahal untuk sebuah buku? Saya kira sebenarnya buku itu tidak mahal, puncanya ialah taraf pendapatan, kos sara hidup dan tahap celik huruf dinegara kita yang tidak seimbang. Negara kita sudah mampu memberi taraf pendidikan yang baik dan selari dengan kemajuan teknologi terkini tetapi mampukah kita membiayai kos untuk rakyatnya sentiasa mengemaskinikan pengetahuan terkini kalau taraf gaji (belum kira peluang pekerjaan lagi) masih terkebelakang 10-20 tahun? ----- Pautan berguna dari O'Reilly: So You Want to Write a Book? Panduan dalam satu maudhu' khusus begini elok dimelayukan dan disesuaikan dengan keperluan setempat untuk tatapan calon penulis baru.

5.7.06

cuti

oleh rastom |

Hari ini cuti blog. Mau cari bahan bukti, penyata itu ini, untuk elak dari membayar cukai. Mana boleh tahan, anak anak sekolah kena duit, hutang itu ini kena bayar, Indahwater dah hantar surat merah hisssss! Minyak naik, cukai kereta kena, tol lagi. Getik bebenor!

3.7.06

rak buku maya 3

oleh rastom |

Rak buku maya sudah lama ada untuk mereka yang mencarinya. Kebebasan yang dijanjikan oleh internet cukup bermakna kepada mereka yang berusaha mencari erti kebebasan yang dimaksudkan. Kebebasan ini wujud dengan fitrah keterbukaan rangkaian global. Dalam banyak hal ia bertembung dengan sikap, prajudis dan institusi undang undang yang wujud sekian lama hasil dari teknologi lama seperti hakcipta. Hakcipta yang diinginkan haruslah lebih terperinci cakupannya serta disemak semula. Fikrah baru kebebasan menganggap ilmu bukan untuk dijual beli tetapi untuk di kongsi bersama dan saling mempertingkatkan wacana ilmu untuk kebaikan bersama. Gerombolan Open Source, Free Software Foundation dan yang seliga dengannya sudah membuktikan betapa perlunya ilmu di kongsi untuk tujuan R & D. Microsoft dengan model bisnes cara lama dianggap sebagai empayar jahat yang meneruskan tradisi mencekik darah. Sebab itu hari ini dengan menggunakan softwer P2P seperti BitTorrent, Emule, Kaaza atau Limewire anda boleh muat turun hampir kesemua buku mengenai komputer, seolah olah anda tidak perlu lagi berbelanja besar membeli buku dalam bentuk hard-copy. Kebebasan ini kini menjadi isu utama di negara yang kemas penguatkuasaan akta hakcipta. Statusnya masih dalam transisi. Di Malaysia, penggunaan P2p semakin meluas, rancak dan riuh macam Jomheboh.

2.7.06

rak buku maya 2

oleh rastom |

Berakhirnya liberalisme dikalangan kedai buku mamak (di utara istilah mamak bukan pejoratif)amat mengecewakan penyorot bebas yang kurang ongkos. Kesalahan segelintir oportunis yang mencemarkan buku serta majalah dan membaca secara percuma terpaksa ditanggung oleh semua. Tindakan memboikot bermula. Suratkhabar bercetak kini tidak perlu dilanggani lagi, yang disediakan diinternet sudah cukup. Boikot akhbar bermula bukan kerana internet tetapi sejak isinya semakin megarut sejak kes bersejarah liwat meliwat menjadi hidangan utama dan terang terangan menunjukkan sikap hamba abdi kepada tuan mereka (bayangkan anjing terjelir jelir lidahnya). Habis punah segala sumber maklumat! Dalam hiruk pikuk jeritan propaganda yang mengemis perhatianku rupa rupanya ada juga sisi liberalis di hati tuan punya kedai yang terkena tindakan boikot. Pelik tapi benar, yang berani menjual akhbar dan risalah alternatif bukan kedai buku Melayu, tetapi kedai India dan Cina. Macam macam ada. "Harakah, Memo, Aliran, sebut saja nanti angkat mari!" Suratkhabar China seperti Kwong Wah, Sin Chew lagi berani. Setiap aktiviti pembangkang ada liputan, lengkap dengan gambar dari pelbagai sudut. Jurnalisme akhbar Cina lebih lestari! Apa kena mengena dengan rak buku maya? Puan Ainon meneka dalam kesamaran. Rak Buku Maya Karin pastinya ada koleksi buku bahasa Jerman. Untuk menghilangkan saspen....ikuti sambungannya nanti, sabarlah, saya sedang membina kota Rom. Lain ulu lain parang Sekarang tidak perlu ke kedai menyelak buku. Cukup hanya satu lawatan ke Amazon.com atau BarnesAndnoble.com ., sudah boleh baca sinopsis dan sorotan buku yang kita minat. Buku bahasa Melayu belum ada kemudahan begitu. Revolusi penerbitan e-buku untuk bahasa Inggeris mewujudkan gudang maya tanpa rak, tanpa kertas mudahalih. Dengan cara ini saya mampu memilikki kesemua siri buku karangan Dan Brown tanpa memenuhi ruang almari buku dirumah. Kesemua siri buku komputer O'Reilly saya hanya tersimpan didalam cakera PC. Tidak ada masalah dengan anai anai atau masalah tertumpah air kopi. ..bersambung