bahasa duniawi...

membina kitab menyuluh dunia Orwelliah

1.11.06

Cukup Sampai Disini Sayang......

oleh rastom |

Dengan resminya mengumumkan penghijrahan saya ke situs baru

halwa romantis

yang manis lagi cantik lagi bergaya selamat tinggal blogspot!

1.11.06

Yenna Dey! Porrrrrrrrah!

oleh rastom |

"Enna Soldrey Dey? Porrrrrrrah"

30.10.06

analisis semiotik ribut politk

oleh rastom |

Jadi, kalau hari ini ada orang yang berkata bahawa bahasa Melayu `tidak mampu' menjana tamadun tinggi, tidak mampu menjadi bahasa sains dan bahasa teknologi, saya kira orang itu tidak membaca sejarah bahasa Melayu ini. - DR. HASSAN AHMAD

Ribut politik Dr. M vs Pak Lah patut dilihat dari segi segi lain dari politik jika mau kenal yang mana batu yang mana kaca. Segi segi lain dari politik yang boleh digunapakai ialah dari segi ayat, perkataan dan konsep yang digunakan dalam hujah hujah mereka. Mahathir ada buku yang ditulisnya tetapi idea asalnya ialah dalam bahasa Inggeris - The Malay Dilemma. Satu cubaan mengupas permasalahan Melayu dengan bantuan kerangka bahasa Inggeris, dan buku itu saya letakkan sebaris mutunya dengan buku Kasim Ahmad yang mengupas perihal hadis yang ingin diberi tafsiran baru. Buku-buku yang pada hemat saya satu pembaziran dan tiada dampaknya dalam membangunkan minda.

28.10.06

Bila Eidulfitri jadi Raya Melayu

oleh rastom |

Hari Raya Puasa cuma satu hari pada 1 Syawal, bukan sebulan. Pada dua Syawal puasa enam hari. Lebih elok mulakan pada 2 Syawal kerana faktor masih belum hilang kekuatan berpuasa. Masalahnya orang kata susah pula bersosialisasi. Kalau ikut amalan orang ramai lalu susahkan diri buat apa?

  • Jangan beli bunga api atau mercun. Ini tiada dalam sunnah. Bising dan bisa ganggu ketenteraman.
  • Jangan cemarkan atmosfera.
  • Jangan buat ketupat pulut, ketupat nasi boleh saja. Amalan makan pulut elok dihentikan langsung (kalau boleh) kerana perubahan sosiologi Melayu dari manusia manual tulang 4 kerat kini ramai yang kerja pejabat. Makan pulut tidak sesuai lagi.
Rumah terbuka? Bahaya! Banyak kuih (banyak belanja) kena hidang sedangkan tetamu tidak makan sangat. Ada yang mamah sedikit kemudian tinggal sisa. Orang yang terlalu ghairah sambut Raya biasanya bukan berselera sangat dengan makanan seperti biskut dan kek. Kalau perbelanjaan kita melonjak tinggi selepas sebulan ikat perut, apa makna puasa? Bila ada rumah terbuka adalah pemungut hasil dibawah umur datang ke rumah. Duit syilling anda sudah tiada nilai untuk mereka. "Kedekut punya tuan rumah!, Dua puluh sen nak buat apa!"

Bisnes Melayu banyak juga rosak dibulan Syawal. Kedai makan biasanya ambil lajak seminggu bercuti. Inilah masanya kedai Mamak buat untung "giler", sementara peniaga Melayu berbelanja "giler" dalam tempoh seminggu (untuk habiskan untung mereka buat di pasar Ramadan dulu). Pasar Ramadan inipun satu bid'ah yang mudah menyesatkan. Bab ini nanti kita syarahkan dilain ruang.

Syahdan dengan hanya satu hari kusambut Syawal, terasa tinggilah sangat nilainya ("setahun hanya sekali"). Ada peluang jimat (bukan kedekut ya). Pihak PLUS pun tak boleh sembelih kita sangat kalau kita kurang guna lebuhraya. Jalanraya tidak sebok tah menentu, statistik kemalangan pun tidak meningkat.

Kepada yang masih dalam mood "raya sakan", silakanlah. Ini hanya pegangan pribadi.

26.10.06

Uji Minda

oleh rastom |

Setelah sebulan kita berpuasa kini tibalah masanya kita bergurau senda. Jika anda orang yang bijak cuba pilih mana mana tajuk yang sesuai untuk dipadankan dengan gambar di atas. Pilihan:

  1. Prof Madya Slapstick ketika melancarkan filem terbarunya Nana Tanjung Rambutan.
  2. Mutakhir amalanku selepas pencen
  3. Langit Itu Bisa di Tongkat ila abada.
  4. Tabib Buasir sedang menjelaskan beda antara lidah P .Ramlee, lidah buaya dan lidah biawak
  5. Pakar Mental memberi motivasi "Bagaimana Menjadi Tidak Mudah Lupa"

Berita ini boleh dijadikan sebagai bahan ujian kefahaman Islam di sekolah menengah, IPT dan mungkin dikalangan pekerja media Melayu Malaysia. Saudi cleric warns of Sunni conversion to Shiism

26.10.06

Imperial Life in the Emerald City

oleh rastom |

Temubual dengan Rajiv Chandrasekaran Wartawan Washington Post Rajiv Chandrasekaran sudah lama bertugas di Iraq bermula tahun 2002, dan kemudian selepas perang disambung tugasannya disana. Buku terbarunya Imperial Life in the Emerald City mendedahkan kesilapan USA di Iraq, dari sudut pandangan orang yang berada di "Zon Bahaya" di luar kompleks Istana - pusat pentadbiran tentera Amerika. Berikut adalah terjemahan (saya) temubual Juan Cole (dipetik dari lamannya) yang soaljawabnya menerusi emel. Cole: Saudara memberi judul buku tersebut "Imperial Life in the Emerald City," maka saya fikir ini satu usaha pertama yang kritikal mengenai usaha Amerika menonjolkan sifat imperaturnya. Bolehkah saudara jelaskan apa maksud saudara dengan "imperial" dan kenapa dipilih katasifat itu sedangkan rakan rakan seangkatan saudara cuma sekadar mengaitkannya dengan istilah peluang yang dipersia siakan atau hanya menggunakan nama seperti "Assassin's Gate?" RC: Saya lihat bagaimana orang Amerika menjalani hidup dan kelakuan mereka di Zon Hijau dan terkejut dengan unsur unsur imperialis mereka, contohnya: tentera Gurkha digunakan untuk mengawal istana, para pegawai CPA ( Penguasa Sementara Pelbagai Negara) sentiasa menyalahkan rakyat Iraq kononnya malas (di Malaya kita dapat "Mitos Pribumi Malas"), makanan dari daging babi di dewan makan dan bekalan minuman alkohol melimpah ruah di tempat tempat makan malam. Saya tidak mengatakan USA mahu menjadi imperialis di Iraq - walaupun orang lain mungkin berpendapat demikian -- tetapi apa yang ingin saya katakan ialah sesetengah orang Amerika yang ke Baghdad untk bertugas dengan CPA akhirnya berlagak samada secara sedar atau tidak, laksana imperialis. Temubual Juan Cole seterusnya memaparkan komentar Rajiv Chandrasekaran perihal bagaimana pihak pentadbir Iraq (CPA) secara semberono mengurus dasar kewangan, makanan dan perubatan untuk rakyat Iraq. Saya belum lagi membaca buku ini kerana ketiadaan stok di kawasan saya. Mungkin nanti bila ada kesempatan ke KL atau Pulau Pinang.

11.10.06

Ranking Anwar, Mahathir dan Pak Lah

oleh rastom |

Mari tengok ranking carian Anwar, Mahathir dan Pak Lah. Klik SINI.

6.10.06

Khutbah

oleh rastom |

Khutbah Jumaat di mesjid mesjid yang saya hadiri semakin hari semakin membosankan. Bukan saya sebagai makmum yang bosan, yang "membaca" khutbah juga kedengaran bosan, seperti dipaksa baca. Jika saya tertidur maka rosaklah pahala Jumaat saya. Habis salah siapa? Saya juga yang salah? Sedangkan pelbagai usaha sudah saya lakukan untuk tidak tidur semasa khutbah, namun apakan daya. Tiba tiba datang ilham, mungkin berkat bulan puasa. Saya temui satu cara untuk terus segar semasa khatib berkhutbah. Solat Jumaat di Mesjid India, khutbah dalam bahasa Tamil, kesemua jemaah Melayu nampak segar bugar, langsung tak mengantuk. Hairan juga, bila kita faham bahasa khutbah kenapa mengantuk?

Satu sumbangan Open Source kepada dunia penulisan yang berguna untuk kerja menulis berjemaah (imam perempuan dibolehkan) terdapat di dalam CMS Drupal. Wujudnya di dalam Drupal sebagai satu modul yang dipanggil book. Jemaah penulis yang bekerja untuk menghasilkan sebuah buku misalnya boleh sama sama berpakat menghasilkan buku yang mereka rancangkan kerana terdapat beberapa ciri yang sesuai seperti membentuk struktur, "membaikki labu laksana sekumpulan tikus", dan yang penting sekali ialah izin menulis bisa diaktifkan hanya untuk ahli sahaja walaupun laman laman lain boleh diakses oleh ahli lain. Contoh aplikasi: Puan Ainon punyai satu domain sendiri di Universiti PTS. Cuma install sofwer Drupal itu kedalam satu direktori misalnya http://universitipts.com/projekbuku . Pengendali laman web Universiti PTS sudah tentu arif dengan database mysql dan php. Sistemnya lebih kurang sama dengan sistem Wordpress yang sedia digunakan di Universiti PTS. Cuma kelebihan Drupal ialah modul "book" dan satu lagi, bahasa antaramukanya boleh diterjemahkan dari modul "locale" yang terdapat didalamnya. Saya telah sekian lama menggunakan Drupal (sekarang sudah kurang aktif dan hanya wujud sebagai arkib sahaja). Akibat dari fokus yang semberono. Saya yakin aktiviti penulisan PTS boleh diperkayakan dengan bantuan Drupal CMS.

Nukilan Pope yang disedut untuk permainan sarkas media ternyata berjaya mencetuskan kontroversi. Jualan akhbar bisa ngetop! Reaksi dari para pemimpin Islam hanya dua yang saya temui cukup serasi dengan tuntutan Islam yang saya anuti.

  • mantan Pres. Iran Mohammad Khatami kata, baca dulu teks lengkap sebelum memberi komen (saya sudah baca)
  • Susilo Bambang Yudhoyono: Muslim Indonesia mesti bijak dan bersabar menangani isu sensitif begini
Teks Pope Benedict XVI boleh dilihat sebagai satu instrospeksi diri dan serangan terhadap gejala sekularisasi dikalangan masyarakat Kristian Barat (dan tersembunyi serangannya terhadap kekejaman regim Amerika-Bush). Orang Islam yang tersinggung dengan kata kata Pope tentunya lupa yang Pope itu Kepala Gereja Kristian. Tak kan dia nak memuji muji Islam. Kalau dipuji Islam elok kita jemput Sahibbus Samaahah Pope datang ke Malaysia berceramah. Lain lain komen yang saya temui hanyalah reaksi eceran cetusan dari sumber permainan sarkas media massa.

20.9.06

K.O. dan Kaput

oleh rastom |

Ya, memang lama tak update. Hampir out-of-date. Selepas demam, K.O seminggu, kemudian PC pula meragam, habis kaput! Sekarang sudah mulai persis Phoenix Bangun Semula!

8.9.06

Bilogika: Remix

oleh rastom |

Bahasa Farsi punyai pengaruh besar di rantau ini. Biadab yang Melayu guna punyai dua unsur, bi dan adab, tiada ada adab. Bi peranannya negatif. Untuk lagu Monica Jones yang sudah saya remix dibawah (pop brutal sudah jadi dangdut) sudah diberi tajuk lain. Tiada apa yang hebat pada liriknya dan artisnya juga ibarat pecacai dari arus perdana yang melahirkan Shakira, Beyonce dsb. Ramai yang menyangka lagu pop Indon lebih bermutu dari yang ada di Malaysia. Perbandingan dengan Indon dalam banyak hal adalah tidak adil. Bilogika! Malaysia masih menghasilkan lagu atau apa saja karya kreatif dalam bahasa bahasa yang saya istilahkan bahasa majmuk Malaysia disamping bahasa Melayu, sedangkan Indon kesemua tumpuan hasilan seninya satu bahasa. Maka kesemua aktivis budayanya tanpa mengira etnik berkarya dalam satu bahasa. Tiada Logika (dengan tambahan perisa tabla dan alat tiupan)

Karna aku tak tahu Kau sudah ada yang punya Atau bisikan cinta Ku tahu engkau berdusta Namun ku tak mau mengerti Selama kau masih bersamaku Karna ku suka Ku butuh cinta yang pernah hilang dariku Cinta ini kadang-kadang tak ada logika Bersih semua hasrat dalam hati Ku hanya ingin dapat memiliki Dirimu hanya untuk sesaat Karna aku tak tahu Kau sudah ada yang punya Karna kau telah bisikkan cintamu padaku Ku tahu kau telah berdusta (dengar pakai headphone lagi meletup)
powered by ODEO

30.8.06

unika pts berwajah baru lagi biru

oleh rastom |

Sesuatu yang menggembirakan ramai orang termasuk saya sendiri bila unika pts mula menggunakan mesin blog Wordpress. Sememangnya kena pilihan tersebut memandangkan ciri ciri kesesuaian yang terdapat pada sistem Wordpress yang pernah saya gunakan semasa mula memblog di Bahasa Dunia. (kurang aktif seketika kerana melihat ramai rakan yang menggunakan blogger.com) Tetapi blog saya yang sedia aktif (juga Wordpress) masih beroperasi dengan bahan audio di mesra.kedahfm.com Pilihan Wordpress untuk menjana kerja memblog seperti di unika PTS saya katakan tepat kerana pertama, ia menggunakan nama domain sendiri dan tidak berpaut kepada agenda bisnes blogger.com, ini penting untuk kelestarian nama bisnes PTS itu sendiri. Namasendiri tersebut bakal dicerna serta dipropagasi oleh enjin enjin carian justeru menyebarluaskan goodwill di alam siber. Kedua, ciri ciri mesra pengguna terdapat didalam sistem tersebut seperti memaparkan komen terkini, trackback (juga terdedah kepada spammer jahat) dan akses blog tersebut bisa dipermudahkan dengan bantuan sindikasi seperti RSS, Atom dan XML Saya harap webmaster blog Unika pasti akan mengaktifkan salah satu syndication feed tersebut. Kemudahan lain yang bakal dinikmati oleh kesemua pihak termasuk penunjang blog tersebut Puan Ainon, ialah kemudahan mengklasifikasikan setiap entri mengikut subjek. Nah, lihat betapa dalam jangkamasa panjang kesemua entri terdahulu boleh diagih agihkan dan memungkinkan carian yang mudah. Saya katakan ini satu lompatan kuantum! Belum ada lagi serupanya membikin projek yang begini ambisius tetapi tidak mustahil. Semoga sukses! p.s : kisah Skandal di Bohemia sudah hampir tamat dikerjakan :-)

Seringkali udang disebalik batu dari kedekatan berlebihan USA pada Israel oleh banyak kalangan dikatakan adalah kerana keserakahan Amerika untuk meraut minyak negara Arab di Timur Tengah dan kerana lobi Yahudi (kelompok penekan yahudi) di AS dan kerana modal yang berada ditangan hartawan hartawan Yahudi yang dikatakan bercita cita untuk menguasai dunia. Banyak dari anggapan ini memang bersumber pada buku yg berjudul The Protocols of the Learned Elders of Zion yang oleh terlalu banyak orang diyakini memang mengandung niat rencana dan maksud jahat kaum Zionis untuk menguasai dunia. (Sudah disyarahkan oleh Khalid Jaafar dalam blognya) Pada hal di abad ke 19 sudah terungkap pembongkaran yang pertama mendedahkan kepalsuan dari buku ini adalah akhbar berwibawa Inggeris The Times, bahawa buku tersebut adalah hasil rekayasa agen Czaris Rusia yang memang sampai sekarang pun masih sangat dendam terhadap umat Yahudi padahal dalam sejarah, umat Yahudi sudah kenyang difitnah termasuk sebagai penyebab wabak penyakit taun dalam abad ke 14 di Eropah misalnya. Penyakit taun yang disebabkan oleh tikus ini bersumber sebenar nya di China. Ketika sampai di Eropah memang sungguh merajalela. Masyarakat mengalami demoralisasi dan diperkirakan sampai separuh penduduk England meninggal antara tahun 1348-1349. Penyakit ini terus menggila selama 3 abad di England. Dan dalam wabak yg kembali berjangkit tahun 1665 sampai hampir 1/2 juta orang meninggal. Waktu itu karikatur - karikatur yang terbit memang melakarkan peranan utama kaum Yahudi sebagai penyebar penyakit ini. Sejarah modern menyebutkan bagaimana Jerman dibawah Adolf Hitler menyimpulkan bahawa segala penyakit umat manusia sebenarnya digara-garai oleh bangsa Yahudi. Jerman Nazi kemudian menawarkan Pemecahan Tuntas (The Final Solution) untuk mengatasi masalah yang dianggapnya adalah kerana ulah umat Yahudi itu, 6 juta orang Yahudi terkorban. Sampai sekarang perasaan anti Yahudi yang kemudian disimpulkan dalam ungkaan anti-semite, suatu tuduhan yang khusus di Amerika sangat ditakuti, ternyata masih terlekat pada ramai orang. Misalnya salah seorang aktor Amerika yang sangat terkemuka - Mel Gibson orang yang ketika kecil dibawa pindah oleh keluarganya ke Australia. Hingga kini Australia mengakuinya sebagai warganegaranya. Mel Gibson seorang Katolik yang taat pernah membuat filem yang laris sekali kendati dikecam banyak umat Yahudi iaitu The Passion of The Christ. Mengenai penyaliban Jesus Kristus mengikut kepercayaan orang Kristian. Waktu itu timbul bisik-bisik bahawa Mel Gibson adalah anti semite. Bulan Julai baru lalu ketika ditahan polis trafik di Los Angeles kerana memandu dalam keadaan mabuk, sempat mencarut carut dan menuduh umat Yahudi sebagai penyebab semua peperangan di dunia. Kebetulan, pegawai polis yang menangkapnya itu adalah seorang keturunan Yahudi. Setelah sedar dari pengaruh alkohol itu Mel Gibson minta maaf. Namun banyak yang kurang yakin akan penyesalannya itu. Wallahua'lam.

adibah noor! kenapa tidak gunakan Big Band yang lengkap dengan instrumen brass untuk lagu mu Ikan di laut asam di darat ha? ini versi yang tak dijual dikedai, hanya ada di blog ini, gubahan semula. versi asal instrumentasinya kurang (produser cari makan!)
powered by ODEO

Peterpan bunyinya sudah digubah mengikut seleraku. Kini para peminat James Brown (I feel Good), Chicago, Brass Construction atau Big Band boleh mula menikmati pop kontemporari ini. Jika anda gemarkan gubahan a la Glenn Miller yang sarat dengan alat brass, silakan...... powered by ODEO

16.8.06

tentang Amani dan Melayunya

oleh rastom |

aqil fithri tanya...

sdr rastom,

boleh saya tahu, apa sikap anda atas kontroversi "bahasa melayu" dalam ucapan Amani baru2 ini? Anda setuju dengan Amani?

Sementara Pak Khalid Jaafar agak murah hati melihat secara positif, saya sebaliknya. Saya tidak kenal siapa Amani, tidak nonton filem (apalagi filem Melayu) era terkini dan tidak pernah harap akan berhasilnya sesuatu yang punyai impak besar sosial dari filem. Filem ibarat bahan konsumen yang pakai-buang seperti ballpen, SMS, akaun prabayar telefon - semua terlalu transien. Pak Menteri Rais mewakili generasinya para elit berkuasa kini sebenarnya menuai hasil yang mereka semai sekian lama. Pernah saya blogkan soal kenapa kerajaan perlu menyebok dalam industri filem (FINAS)? Begitu juga sekian lama saya gubra kenapa sebok mau niaga kereta nasional? Dasar dasar bodoh membuahkan hasil bodoh. Bakal mendatang, kita nanti boleh saksikan lagi banyak hasil hasil bodoh yang dituai hasil semaian beberapa puluhan tahun dulu.

13.8.06

Amerika menang jadi arang

oleh rastom |

Di Vietnam, cerita Agent Orange, tersebar setelah nasi menjadi bubur. Perang Teluk dan Iraq bahana Deplete Uranium kini dalam diam meracun kehidupan para tenteranya.

ada apa apa yang baru? media: TV objek: orang membaca lain-lain: nasyid penyertaan: antarabangsa - antara negara 1.Kandungan rancangan tilawah adalah 90% vokal. Aksi kurang. Sudahkah TV pergunakan segala kapasiti visual yang boleh untuk menarik penonton? 2. Nasyid dari segi muzik, tiada apa apa perubahan. Kenapa tidak dijemput nasyid antarabangsa dari Bosnia, Afrika atau Rusia? Hampir getik menengok corak persembahan yang sama. 3. Ada 90% lagi potensi untuk perelokkan tilwah. Kalau mau hubungi saya.

4.8.06

Kita Ada Cara Sendiri

oleh rastom |

Kerajaan Amerika Syarikat rasanya tak pernah menyebok dengan urusan Hollywood. Kerajaan India pun tak campur hal Bollywood. Tetai kedua dua pusat seni filem berhasil. Di Malaysia, filem jangankan keluar negeri, dalam negeri pun masih kabur. Studio digital bernilai RM30j dibina di FINAS. Cuba teka siapa yang untung, siapa rugi? Kata Menteri (perli tajam untuk FINAS) :

“Ketika zaman P.Ramlee tidak ada FINAS tetapi yang dikenang hingga ke hari ini ialah karya-karya P.Ramlee sendiri.

“Mesti ada sebab musabab itu,”

2.8.06

Bicara Terjemahan : Biso Bonar

oleh rastom |

Sherlock Holmes hidup semula! Biso bonar versi NS Khalid Jaafar.

Lopes kawin, den raso, den samo dio dah longgar. Sodap boto kawin. Den raso kuek jadi ketuo rumah, buek den sibok bonar.

31.7.06

Bicara Terjemahan :

oleh rastom |

Arthur Conan Doyle tidak menulis seperti Agatha Christie. Meskipun kedua duanya tergolong dalam satu niche atau genre. AC Doyle pekat lenggok British fesyen lama, Agatha Christie lebih moderen. Untuk meMelayukan bahasa Doyle ada banyak jerangkap samar. Ramai penterjemah kitab Arab ke Melayu hingga kini terkurung dalam perangkap "setia kepada bahasa asal' sehingga maksud terjemahan mengelirukan. Hujah hujah mengenai perangkap ini sarat terkandung di Universiti Terbuka dan Sastera Islami yang tak perlu saya ulangi disini. Proses menterjemah bukan setakat pindahan harfiah. Ayat, gaya dan kosa kata Conan Doyle bukan jenis yang diajar disekolah. Gaya bangsawan dan tidak kontemporari. Maka saya ibaratkan proses terjemahan untuk karya lama ini sama seperti proses memasak ikan lampam British. Yang saya sediakan didalam entri yang sebelum ini hanyalah ikan yang baru dibuang kulit dan sisik Inggerisnya. Baru digaulkan garam kunyit kampong. Belum digoreng dengan minyak kelapa sawit Malaysia lagi. Bau rempah melayu ajaib betul, sampai ada yang terus meratah ratah ikan mentah. Ah, jelas kenapa Syarikat India Timur dan VOC sanggup berperang kerana rempah. Jalan mudah bikin terjemahan, seperti mana mudah masak ikan ialah dengan melemparkannya terus kedalam periuk. Kemudian dihidangkan dengan nasi serta sambal belacan. Nasi melayu juga tetapi ada sikit bau hanyir bukan? Buku buku hanyir Inggeris ( hanyir Arab juga ada) sudah banyak menyiksa. Penderitaan saya bukan alang kepalang. Duit saya habis, bertambah keliru selepas membaca. Nota: Sdr Mansor Mat Saman pernah berpesan. Kalau hendak makan nasi di kedai jangan sekali kali pergi ke Kedai Makan Melayu. Bahaya!

30.7.06

Sherlock Holmes Kedah

oleh rastom |

Puan Ainon Mohd memulakan sesuatu yang cukup menarik di blognya. Menterjemah bukan mudah. Aku lebih selesa dengan loghat Kedah. Berikut ialah versi Kedah untuk ujian terjemahan yang terdapat di lamannya.

Holmes dah lama aku tak jumpa. Sejak aku bernikah aku rasa semakin renggang dengan dia. Bahagia yang aku rasa sejak berbini dan rasa gagah jadi ketua rumah buat aku selalu sebok, tapi Holmes, dengan perangai dia yang tak suka berguil dengan orang, la ni dok lagi di rumah kami di Baker Street, bergelumiang dengan buku buku buruk, sambil dok lawan ketagih candu, sambil dok layan angan angan besaq. Lagu manapun dia teruih juga minat dok kaji jenayah. Dengan penuh jiwa raga dia cuba cari jejak jejak, sambil usaha selesai semua misteri yang polis tak boleh buat. Kadang kadang ada juga aku dengar cerita pasai dia; dia kena pi Odessa pasai kes bunuh Trepoff, dia bongkaq tragedi adik beradik Atkinson di Trincomalee, dan berjaya selesai masalah yang dok buat penin kepala keluarga diraja Belanda.

26.7.06

sedikit kewarasan dari akhbar yahudi

oleh rastom |

Haaretz.com akhbar dari Israel menyiarkan satu artikel yang menyalahkan tindakan menyerang Lubnan dan satu NGO Yahudi di USA Brit Tzedek v'Shalom menyeru USA bertindak segera wujudkan gencatan senjata. Ada beberapa petunjuk dari membaca akhbar Yahudi itu menjelaskan kenapa negara Arab seolah olah membisu. Mereka rupa rupanya tidak menyenangi kehadiran dan kegiatan Hezbollah. Mungkin kerana Hezbollah ditunjangi Iran yang bukan Arab?

23.7.06

Dasar Kesusasteraan Kebangsaan

oleh rastom |

Sudut pandangan dari dua generasi ......

MOHD. AFFANDI HASSAN kata: Jika kita lihat realiti politik ini dalam konteks dasar kebudayaan tadi, maka kita dapati apa-apa dasar yang tidak cocok dengan kemahuan politik akan diketepikan secara terang atau tersembunyi untuk memastikan kelangsungan kemahuan politik tadi. S.M. Zakir kata: Pada masa yang sama kesedaran ini muncul bukan kerana perasaan terancam atau terdesak tetapi jelas merupakan a modicum of intelectual effort yang meraikan perkembangan pemikiran dan intelektualiti. Dasar Kesusasteraan Nasional bukan kotak sempit. (Editor Utusan akan saya jemput ke Seminar Dasar Redaksi Kebangsaan nanti...)
Pesimistik dan optimistik. Apalah diharap padi seberang. Usaha menambahnilai seni budaya bangsa elok dipelajari dari gerakan persatuan bahasa Cina, janganlah diharap kepada kerajaan. Lain diharap lain yang jadi.

22.7.06

Siapa Sokong Israel

oleh rastom |

Andaikan krisis Arab-Israel sebagai luka yang tak akan pulih kecuali.........., sebelum diberi apa apa cadangan lihat dulu siapa SOKONG Israel, siapa pula setuju dengan gencatan senjata.

Stephen King, anda tentu kenal siapa dan apa yang beliau hasilkan. Yang ngeri, seram, tahyul, abnormal, gila, hantu, ada belaka. Kuliah ringkasnya di SINI. (English only). Yang pertama dalam senarainya ialah BAKAT Pak!

Suami: Alhamdulillah, menikah juga akhirnya... Isteri: (mendengus) uh! pilihan yang tepat konon, yelah, datuk K tu kan banyak duit Suami: Siti pun bukan miskin sangat, duit nyanyi dia pun banyak, abang rasa memang cinta sejati Isteri: Cinta sejati ? Ambil laki orang..... Suami: (mencelah secepat kilat) Ish! Bukan dia ambil laki oranglah, laki orang yang ambil dia! (grafiks asal pencipta lebih cantik, di "pow" dari weblog oraet.com)

Pustaka Nasional sudah mulakan. Ini satu contoh bagaimana podcast digunakan untuk dunia penerbitan. Siapa akan mulakannya di Malaysia?

17.7.06

Podcast Bahasa Melayu!

oleh rastom |

Apa itu podcast? Apa perlunya, bagaimana, dimana, untuk apa, untuk siapa? Nantikan kehadirannya selepas secawan kahwa dan nasi berlauk tomyam udang dan telor goreng sebentar lagi....... 1. Podcast: Perkataan pod diambil dari produk Apple yang dinamakan iPod, alat pemain dan perakam mp3. Perkataan cast asalnya dari broadcast, menyiar, biasanya merujuk kepada siaran radio dan TV. Teknologi podcast adalah lanjutan perkembangan internet dan tambahan unsur audio ke dalam browser anda yang selama ini hanya menyiarkan bahan seperti teks dan grafik kaku. 2. Perlukah ada podcast? Jawabnya ialah, perlukah ada radio? Sekurang kurangnya ia berguna untuk mempelajari bahasa. Dengan podcast, anda boleh ikuti perbincangan, ulasan menarik tanpa menunggu siaran radio (yang sekarang ini cukup memuakkan telinga). Anda sendiri pilih apa bahan yang anda ingini. Anda boleh pilih apa saja di Podcast Bunker , Podcast Directory, iPodder, atau ke Podcast Alley. Kesemua podcast yang diterbitkan boleh dilanggani secara percuma. 3. Bagaimana: Untuk mendengar podcast (bahan selalunya dalam format mp3 yang boleh di muat turun terus, tetapi budaya podcast ialah "melanggan") dengan mengguna sofwer khusus untuk menguruskan podcast tersebut. Sofwer yang saya gunakan dan mudah dikendalikan ialah iTunes, sekarang sudah versi 6.05 untuk Windows. 4. Untuk Apa?: Untuk apa anda bercakap? Menulis? Anda boleh berceramah mengenai apa saja topik dan suara anda boleh dikutip oleh sesiapa saja didunia. Mengulas buku, berkempen untuk calon parti Tupperware, mengkritik (atau memuji) blog saya, mempromosikan kelebihan poligami, menyuarakan rintihan cinta atau apa sajalah. 5. Untuk Siapa? Kepuasan diri, untuk mempromosikan bisnes anda sebagai seorang penceramah skim cepat kaya, untuk menonjolkan bakat anda sebagai seorang pengacara. Jika bahan podcast yang anda terbitkan mendapat sambutan ramai, pastinya akan ada pengiklan yang berminat. ....jangan lupa, ada sambungan.....

khalidjaafar.org memulakannya. Saya hanya melihat hujah pro-kontra. Melihat dari sudut bukan siapa pandai kerana menurut Puan Ainon logik Zaaba yang saya gunakan sukar dipertahankan. Secara defensif saya katakan pandai tidak sama dengan hikmah. Manusia boleh jadi semakin pandai tetapi berkurang hikmahnya. Yang pandai boleh bermain silap mata kepada yang jahil atau kurang pandai, tetapi jauhari juga yang nampak dimana manikam. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, satu babak ketika trio mencari pekerjaan. Sudin: Hoi! Bai, di sini ada kerja kosongkah? Jaga: Apa hoi hoi? Melayu tarak bahasaka? Sudin beredar, kemudian kembali hampiri jaga tersebut. Sudin: Tuan Singh, saya mau tanya...... Jaga: Saya bukan Tuanlah...... Mesej P Ramlee jelas disini. Sirna glamor ketokohan seseorang yang digilap jentera media massa mampu menonjolkan orang yang kurang budi bahasanya sebagai seorang tokoh yang membela bangsa, bahasa dan budaya. Saya tercari cari dimana sudut kreativiti Kemelayuan atau Kemalaysiaan dalam kebanyakkan artifak mega yang menjadi kebanggaan negara seperti Kompleks Putrajaya. Nada! zilch! nichivo! Yilek! ----> Boulevard? Precinct? Palace of Justice? Maa maa'na ya sheikh? Kekacauan melimpah turun ke nama jawatan perkhidmatan awam pula, kini sudah ada Cif Inspektor, Rakan Cop (ingat, dulu ada Tonik Cop Gadja).....terkini saya lihat sudah ada jawatan agen penguderait (underwriter agent). Selamat maju jaya DBP!

15.7.06

Bakat PAK!

oleh rastom |

Apakah anda berbakat untuk melihat insiden Zidane menanduk dari pelbagai sudut? Persepsi manusia berbeda mengikut apa yang mereka mau lihat . Lain padang lain belalang...

14.7.06

Bakat PAK! :- Senario Osmaniah

oleh rastom |

Era gemilang khalifah Osmaniah tidak abaikan unsur unsur bakat dalam menyaring calon yang inginkan jawatan di mesjid. Berikut saya perturunkan apa yang saya pernah temui dari blog Anisah:

Position of Imam of the Grand Mosque in Istanbul (the Ottoman Empire).

  1. To have mastered the languages of Arabic, Latin, Turkish and Persian
  2. To have mastered the Qur'an, the Bible and the Torah
  3. To be a scholar in Shari'ah and Fiqh
  4. To have mastered physics and mathematics up to teaching standard
  5. To be a master of chivalry, archery, duelling and the arts of Jihad
  6. To be of a handsome countenance
  7. To have a strong melodious voice
Beberapa persoalan boleh kita kemukakan, lalu simpulkan kenapa dunia seni kita jadi lesu hari ini, walaupun punyai teknologi yang lebih canggih berbanding era Osmaniah.

13.7.06

Bakat PAK! 2

oleh rastom |

Pagi tadi saya temui tulisan NOOR AZAM, Isi tekad perjuangan bahasa Jelas dan faham jadinya saya apa yang sedang berlaku. Sebagai orang luar saya tidak mampu mengulas lebih dari apa apa persepsi yang saya dapati dari tulisan beliau. Pedas dan mengena. NOOR AZAM saya ambil sebagai satu contoh bakat yang diasah tanpa rasa jemu. Kayu ukur saya menilai beliau ialah dari kesan bacaan kesemua tulisannya semasa beliau menulis untuk Dewan Masyarakat. Gayanya mudah, tepat dan padat. Tulisannya kini jarang ditemui. Apakah beliau tidak lagi mempraktikkan PAK ke atas bakatnya itu ataumungkin sudah kaya raya? Guna dan Salahguna Bakat Bagaimana bakat seseorang itu boleh disalahgunakan? Sebelum itu saya mau alih pandangan sedikit. Dari sebuah kitab Farsi A'in-e Negaresh, Hosein Sami'i menjelaskan,.......

pengarang mestilah terlebih dahulu berusaha memilikki nilai-nilai terpuji pada akhlaknya. Wajar ada padanya keindahan rupa bentuk dan kesempurnaan makna, warak dan kawal nafsu, jujur dan ikhlas; mengadun karyanya dengan kebenaran serta memperelokkannya dengan logika dan berhemah; kawal lidahnya dan penanya dari hal yang mengarut; berusaha menjaga rahsia; berusaha menanamkan keyakinan pembaca; jangan menulis hal yang tidak benar; dan jangan memuji pada yang bukan patut dipuji. Pujian berlebihan bisa menjahanamkan Kesenian Tinggi.
Contoh salahguna bakat (penulisan) . Penulis upahan yang ditugaskan untuk memuja-muja seseorang tokoh, atau mengeji dan memfitnah seseorang. Kerja seperti ini berleluasa ketika hampir musim pilihanraya atau musim memilih seseorang ke sesuatu jawatan. Amalan begini berlaku semenjak era pra - Islam lagi. Adalah tidak masuk akal bagi seorang penulis yang pada satu ketika saya temui beliau dalam keadaan cukup dhaif tiba tiba menjadi kaya hanya kerana beliau mengambil upah menulis sebuah buku yang memburukkan seseorang. Wang yang diterima bukan dari hasil jualan buku tetapi dari upah menghasilkan satu manuskrip. Wang tidak lagi bermakna bila datang sakit dan kemudian tiba pula jemputan malaikat maut. Soal moral dan baik buruk kesan dari hasil tulisan tidak menjadi fokus mana mana institusi yang mengajar penulisan. Anda diajar teknik, sedikit sejarah dan hal hal berkaitan seni dan budaya. Dengan kemahiran teknik menulis, tidak mustahil anda boleh menghasilkan beberapa buah novel fiksyen cinta dan sebagainya dalam tempoh masa yang singkat. Peringatan Hosein Sami'i di atas bermaksud mengangkat taraf penulis dari menjadi hamba $ kepada tingkat yang lebih mulia ...bersambung

12.7.06

Bakat PAK! (Pupuk, Asah Kembang)

oleh rastom |

Teropong akan saya halakan ke bab bakat. Bab ini mungkin antara yang paling ringkas (jika saya tidak berbakat) atau bakal terpanjang sekali jika sebaliknya. Senario satu: Ahmad punyai suara yang lunak merdu bagai buloh perindu. Ada gaya penyanyi, mirip suara P. Ramlee. Suatu hari dipersembahkan nyanyiannya diiringi musik karaoke. Muzik bermula dengan intro dan senikata pun turut muncul dilayar. Ahmad pun mula berlagu mengikut senikata baris demi baris seperti adanya. Suaranya yang lemak merdu bergaung nada bes bersimpang siur dengan rentak. Irama dan lagu berpisah. Suaranya berkecamuk dalam alunan yang rentaknya menagihkan keharmonian. Ahmad rupa rupanya cuma ada suara - ritma, satu faktor penting dalam lagu tiada. Bolehkah diajar apa itu ritma? Senario kedua: Bedah suka memasak. Banyak resipi telah dikumpulkan hingga berjilid jilid. Pantang jumpa saja resipi, dicatitnya. Alat kelengkapan dapur semuanya ada, sebut saja apa jenis cooker, ketuhar gelombang, blender itu ini, ada belaka. Satu hari dijemput kesemua rakannya kerumah untuk menikmati masakannya. Itulah hari paling bersejarah (yang pertama dan terakhir) rakan rakannya menikmati masakannya. Senario ketiga: Buyong bercita cita besar ingin jadi pengarang atau novelis terkenal. Berbagai kursus, bengkel dihadirinya. Sampai peringkat ijazah pula pengajiannya khusus bidang penulisan. Akhirnya dia hanya jadi seorang wartawan yang kerjanya mencatat apa orang besar besar kata atau buat. Tiada novel atau apa bahan kreatif yang beliau hasilkan. Kerjanya setiap hari menghadiri sidang akhbar disana sini. Dengan tiga senario itu, mungkin ada banyak lagi yang boleh kita selongkar dalam teropong bakat ini PAK! , saya mengajak anda, pengunjung yang setia, yang aktif dan tak aktif sama sama menangani isu yang semakin hari semakin dipinggirkan demi mengejar masa dan ringgit. Bakat atau apa apa mengenainya tidak ada di ajar atau di PAKkan disekolah rendah, menengah atau IPT. Hanya guru yang berbakat sahaja yang mampu, itu pun sekadar merangsang - dan malangnya rangsangan itu bakal dimusnahkan pula bila bertukar guru.

Nampaknya tiada apa yang baru, segar dan memberangsangkan dalam pelan memajukan pelancongan. Idea lapuk yang terkini saya dengar ialah tumpuan kepada "night-life' seperti melanjutkan waktu operasi pusat hiburan. Kecenderongan kepada hiburan begini boleh dilihat sebagai manifestasi peribadi orang yang mengesyorkannya. Dianggapnya sejumlah besar pelancong inbound ke sini dahagakan hiburan seperti yang disediakan di kelab kelab malam disko dan sebagainya. Apakah faktor yang menarik orang luar datang ke Malaysia? Pengalaman saya semasa di Langkawi sebagai pemandu pelancong meyanggah kesemua idea idea basi yang mengatakan pusat pusat hiburan begitu perlu untuk meningkatkan pelancongan.

  • 1. Tempat asal mereka (pelancong) punyai serba aneka hiburan yang lebih brutal!.
  • 2. Mereka mengkaji terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk ke sini dan faktor kelebihan yang kita ada ialah cuaca panas (untuk mereka yang melarikan diri dari winter). Kos chalet dan hotel yang murah.
  • 3. Faktor aman damai tenteram dan alam sekitar semula jadi. Faktor ini sudah mulai pudar terutama sekali di Langkawi bila proses gila membangunkan hotel chalet dan serba aneka yang bukan bukan bermula. Tahniah kepada Tun Mahathir juga kerana membawakan pembangunan yang berjaya memadamkan Langkawi dari radar populariti pusat pelancongan dunia. Hutan menghijau dengan sekelip mata bertukar menjadi hutan konkrit.
Mungkin ada yang fikir status bebas cukai Langkawi atau mana mana tempat di Malaysia mampu menarik pelancong. Kepada mereka yang belum pernah keluar Malaysia mungkin teori ini boleh dijaja, hakikatnya konsep bebas cukai untuk menarik pelancong telah dipraktikkan di beberapa tempat diluar negara dan maklumbalas yang saya terima dari pelancong ialah harga barangan di luar sana lebih murah. Satu lagi bid'ah teori menarik pelancong yang berleluasa dalam minda penggubal dasar di negara kita ialah kebebasan menjual arak. Maklumat yang saya terima dari para wisatawan yang pernah ke Kepulauan Maldives cukup kuat untuk ditegaskan di sini bahawa walaupun arak atau sebarang minuman keras tidak "dibebaskan" seperti di sini, jumlah wisatanwan yang mengulangkunjung ke pulau tersebut tidak pernah berkurangan. Langkawi dengan segalanya "dibebaskan" semakin merosot jumlah ketibaan pelancong. Kenapa? Why...Why Why?

8.7.06

rak buku maya 4

oleh rastom |

O'Reilly - nama unggul dalam penerbitan buku teknikal khusus mengenai komputer, pengaturcaraan, web dan internet. Kesemua bukunya boleh diperolehi dalam bentuk hardcopy dan versi elektronik. Ungkapan slogan terbitan mereka "by and for smart people," ada kebenarannya. Smart people dikalangan karyawan IT telah melambakkn kesemua versi elektronik diruang siber dan sesiapa saja boleh muat turun mana mana tajuk yang diperlukan, secara gratis! Mungkin kejayaan pasaran sektor hardcopynya kepada pihak lembaga pendidikan dan perpustakaan seluruh dunia jauh lebih menguntungkan maka tidak terasa olehnya kerja subversif penglanunan. Walaupun rak buku maya peribadi saya boleh bertambah secara gratis, ada sesuatu aspek psikologi yang merasakan ada kekurangan jika tidak dapat menjamah buku tersebut secara fizikal. Saya tidak dapat menyelak nyelak, menambah catatan atau melakar contengan keatas helaian versi elektronik. Saya cuma dapat tatapi isinya, tidak boleh dijadikan teman sebelum melelapkan mata.Untungnya, saya jimat RM80 untuk senaskhah buku tersebut. Kenapa terlalu mahal untuk sebuah buku? Saya kira sebenarnya buku itu tidak mahal, puncanya ialah taraf pendapatan, kos sara hidup dan tahap celik huruf dinegara kita yang tidak seimbang. Negara kita sudah mampu memberi taraf pendidikan yang baik dan selari dengan kemajuan teknologi terkini tetapi mampukah kita membiayai kos untuk rakyatnya sentiasa mengemaskinikan pengetahuan terkini kalau taraf gaji (belum kira peluang pekerjaan lagi) masih terkebelakang 10-20 tahun? ----- Pautan berguna dari O'Reilly: So You Want to Write a Book? Panduan dalam satu maudhu' khusus begini elok dimelayukan dan disesuaikan dengan keperluan setempat untuk tatapan calon penulis baru.

5.7.06

cuti

oleh rastom |

Hari ini cuti blog. Mau cari bahan bukti, penyata itu ini, untuk elak dari membayar cukai. Mana boleh tahan, anak anak sekolah kena duit, hutang itu ini kena bayar, Indahwater dah hantar surat merah hisssss! Minyak naik, cukai kereta kena, tol lagi. Getik bebenor!

3.7.06

rak buku maya 3

oleh rastom |

Rak buku maya sudah lama ada untuk mereka yang mencarinya. Kebebasan yang dijanjikan oleh internet cukup bermakna kepada mereka yang berusaha mencari erti kebebasan yang dimaksudkan. Kebebasan ini wujud dengan fitrah keterbukaan rangkaian global. Dalam banyak hal ia bertembung dengan sikap, prajudis dan institusi undang undang yang wujud sekian lama hasil dari teknologi lama seperti hakcipta. Hakcipta yang diinginkan haruslah lebih terperinci cakupannya serta disemak semula. Fikrah baru kebebasan menganggap ilmu bukan untuk dijual beli tetapi untuk di kongsi bersama dan saling mempertingkatkan wacana ilmu untuk kebaikan bersama. Gerombolan Open Source, Free Software Foundation dan yang seliga dengannya sudah membuktikan betapa perlunya ilmu di kongsi untuk tujuan R & D. Microsoft dengan model bisnes cara lama dianggap sebagai empayar jahat yang meneruskan tradisi mencekik darah. Sebab itu hari ini dengan menggunakan softwer P2P seperti BitTorrent, Emule, Kaaza atau Limewire anda boleh muat turun hampir kesemua buku mengenai komputer, seolah olah anda tidak perlu lagi berbelanja besar membeli buku dalam bentuk hard-copy. Kebebasan ini kini menjadi isu utama di negara yang kemas penguatkuasaan akta hakcipta. Statusnya masih dalam transisi. Di Malaysia, penggunaan P2p semakin meluas, rancak dan riuh macam Jomheboh.

2.7.06

rak buku maya 2

oleh rastom |

Berakhirnya liberalisme dikalangan kedai buku mamak (di utara istilah mamak bukan pejoratif)amat mengecewakan penyorot bebas yang kurang ongkos. Kesalahan segelintir oportunis yang mencemarkan buku serta majalah dan membaca secara percuma terpaksa ditanggung oleh semua. Tindakan memboikot bermula. Suratkhabar bercetak kini tidak perlu dilanggani lagi, yang disediakan diinternet sudah cukup. Boikot akhbar bermula bukan kerana internet tetapi sejak isinya semakin megarut sejak kes bersejarah liwat meliwat menjadi hidangan utama dan terang terangan menunjukkan sikap hamba abdi kepada tuan mereka (bayangkan anjing terjelir jelir lidahnya). Habis punah segala sumber maklumat! Dalam hiruk pikuk jeritan propaganda yang mengemis perhatianku rupa rupanya ada juga sisi liberalis di hati tuan punya kedai yang terkena tindakan boikot. Pelik tapi benar, yang berani menjual akhbar dan risalah alternatif bukan kedai buku Melayu, tetapi kedai India dan Cina. Macam macam ada. "Harakah, Memo, Aliran, sebut saja nanti angkat mari!" Suratkhabar China seperti Kwong Wah, Sin Chew lagi berani. Setiap aktiviti pembangkang ada liputan, lengkap dengan gambar dari pelbagai sudut. Jurnalisme akhbar Cina lebih lestari! Apa kena mengena dengan rak buku maya? Puan Ainon meneka dalam kesamaran. Rak Buku Maya Karin pastinya ada koleksi buku bahasa Jerman. Untuk menghilangkan saspen....ikuti sambungannya nanti, sabarlah, saya sedang membina kota Rom. Lain ulu lain parang Sekarang tidak perlu ke kedai menyelak buku. Cukup hanya satu lawatan ke Amazon.com atau BarnesAndnoble.com ., sudah boleh baca sinopsis dan sorotan buku yang kita minat. Buku bahasa Melayu belum ada kemudahan begitu. Revolusi penerbitan e-buku untuk bahasa Inggeris mewujudkan gudang maya tanpa rak, tanpa kertas mudahalih. Dengan cara ini saya mampu memilikki kesemua siri buku karangan Dan Brown tanpa memenuhi ruang almari buku dirumah. Kesemua siri buku komputer O'Reilly saya hanya tersimpan didalam cakera PC. Tidak ada masalah dengan anai anai atau masalah tertumpah air kopi. ..bersambung

29.6.06

rak buku maya 1

oleh rastom |

Ada sedikit keganjilan pada sesetengah perangai manusia bila memasukki ruang tamu orang. Objek utama yang menarik bukannya perabut atau hiasan dalaman rumah tetapi rak buku. Dalam sebok bersembang mata mereka akan mencuri curi tengok apa buku yang ada didalam atau dibariskan di atas rak. Aruah nenek saya berpesan, " hang jangan dok pi punggah buku dalam lemari makcik hang tu!". Tahun 60'an suratkhabar harganya kalau tak silap 15 sen. Kartun Mat Jambul ada dalam Berita Harian. Reader's Digest pun saya punggah baca walaupun tak faham bahasa Inggeris ketika itu. Baca gambar saja lah. Novel yang ada dalam almari tu yang saya masih ingat ialah novel Salah Asohan, Senja di Jakarta, Tuan Direktur dan satu buku resipi bertulis jawi dengan hiasan depan wajah wanita persis Ros Yatimah sedang makan sate. Nasib baiklah mak saudara saya tu toleran dengan hasil punggah memunggah itu. Bila sudah besar panjang, tabiat punggah memunggah beralih ke kedai buku dan perpustakaan. Kedai mamak sampai satu ketika mungkin naik bengang dengan perangai manusia begini terus mengepit buku dan majalah dengan stapler. Padan muka! ......bersambung.

27.6.06

Da Vinci Code

oleh rastom |

mantan pegawai JAKIM dan Amir Sari yang memberi komen perihal kebijaksanaan JAKIM mengharamkan beberapa buah buku ingin saya panjangkan. Da Vinci Code dipersembahkan sebagai sebuah karya fiksyen. Masalahnya, fiksyennya bercampur baur dengan watak watak historis yang benar wujud dalam sejarah seperti Jesus. Tanggapan Dan Brown terhadap siapa itu Jesus tidak sama dengan fahaman kita terhadap Nabi Isa. Perlu dingat sepanjang sejarah, kontroversi siapa Jesus Christ tidak pernah selesai. Dan Brown saya lihat sebagai seorang oportunis kreatif yang mencuri banyak idea dari usaha kajian Baigent & Leigh. Sebelum terbitnya buku The Holy Blood and the Holy Grail ada sebuah buku lain berjudul The Dead Sea Scrolls Deception, yang mempersoalkan kesahihan Jesus disalib dengan andaian dan ujian saintifik. Ada sesuatu yang terlindung disini. Teori Baigent & Leigh yang kemudiannya diciplak oleh Dan Brown yakni perihal susur galur cucu cicit Jesus Christ dari perkongsian hidupnya dengan Mary Magdalene tidak boleh dipertahankan dan dianggap sebagai satu teori konspirasi yang sama tarafnya dengan Protocols of the Elders of Zion. Tukang karutnya juga seorang Perancis yang anti-semitik, Pierre Plantard. Walaubagaimana pun saya rasa tertarik dengan beberapa hujah Baigent & Leigh. Saya tidak membaca Da Vinci Code kerana telah mendahului menghadhami teori teori yang dibentangkan oleh Baigent & Leigh. Andainya JAKIM mengharamkan Da Vinci Code, maka elok juga haramkan kesemua buku buku yang revisionis sejarah Jesus Christ. Soalnya adakah orang JAKIM membaca?

26.6.06

NONZERO untuk Malaysia

oleh rastom |

Nonzero mengajak anda melihat dunia melalui sudut lain dari biasa. Majalah Fortune , March 21, 2005 kata ini buku terbaik berada dalam Top 75, terbaik berkaitan dunia bisnes. Dari beberapa sorotan yang saya teropong, penulisnya Robert Wright, menganjurkan perspektif evolusi manusia hidup bermasyarakat yang punyai satu halatuju. Ditemuinya satu teori, satu arah dalam sejarah budaya manusia. Gagasannya memberi pengisian kepada klise 'dunia tanpa sempadan' , bukan seperti laungan politik New World Order tetapi menjurus kepada satu dunia yang saling terikat-bergantung antara satu sama lain. Saya belum berpeluang memiliki dan membaca buku ini. Ada reviu yang meletakkan ide Robert Wright sebagai satu sanggahan kepada ide ide Karl Popper dan Isaiah Berlin. Ustaz Khalid Jaafar mungkin nanti usahakan sedikit pencerahan? Tema yang didokong buku ini rasanya patut dibaca oleh politikus dan pembuat dasar negara yang berbilang kaum. Bertuah sangatlah negara ini kalau ramai politikus yang membaca.

25.6.06

Jakim boleh minta khidmat saya

oleh rastom |

Langkah JAKIM mengharamkan buku buku tentunya berniat murni. Zaman sekarang niat murni sahaja belum cukup berkesan kerana faktor dunia tanpa sempadan. Sesuatu yang tersorok lebih membuat orang teruja maka kemungkinan buku buku tersebut terus jadi buruan peminat buku yang tau selok belok sempadan duniawi internet. Jika tiada hard-copy, orang boleh cari versi elektronik. Mau format apa? PDF? Microsoft Lit? RTF atau TXT biasa? Apa, tidak percaya? Saya boleh dapatkan kesemua buku buku Karen Armstrong dari internet tanpa mengunjungi kedai buku. Hinggakan yang terkini dari Karen Armstrong - The Great Transformation!Secara percuma pun boleh. Baiklah, kalau begitu apa metode yang terbaik untuk JAKIM usahakan? Jika niat murni JAKIM ingin mengekalkan kemurniaan aqidah, JAKIM boleh menggunakan khidmat saya untuk membuat sorotan buku buku tersebut, mungkin dalam blog ini. Sekurang kurangnya ada juga peluang pekerjaan untuk saya. Jika saya tidak mampu mengupas bab bab yang terlalu khusus, saya boleh gunakan networking saya dengan beberapa orang pakar. Dengan membaca sorotan buku buku tersebut, para pembaca biasanya akan terneutral keterujaannya untuk mencari cari buku buku tersebut. Pengguna internet tidak suka buang masa. Soalnya adakah JAKIM mampu mengubah paradigma bertindak sesuai dengan keadaan semasa. Bukankah sekarang kita mau wujudkan e-government?

25.6.06

Kris pelbagaiguna

oleh rastom |

22.6.06

DBP dan rempuhan globalisasi

oleh rastom |

Baru baru ini frasa rempuhan globalisasi menjadi ikutan ramai. Dalam majlis sambutan DBP 50 tahun dengan menara barunya Dr Firdaus sebut juga fasal rempuhan dan pemerkasaan>>> Globalisasi dianggap sebagai satu gergasi yang bakal merempuh dan meranapkan>>apa kata kalau dilihat dari paradigma lain? Kenapa tidak dilihat globalisasi sebagai satu peluang untuk DBP merempuh keluar bahu membahu dengan globalisasi? Bukankah menara itu lambang sesuatu yang towering?

21.6.06

disinformasi

oleh rastom |

Disinformasi dari bahasa Inggeris :disinformation: : maklumat palsu yang selalunya disebarkan secara rahsia (umpama menyebar khabar angin) untuk mempengaruhi pendapat umum dan menutup kebenaran. Seekor kucing yang berjasa kepada tuannya yang terdisinformasi dan terburu buru dikorbankan. Seorang budak cerdik dikorbankan cf: Singapura dilanggar todak. Ibu mertua Kasim Selamat mengamalkannya ketika berbohong kononya Sabariah sudah meninggal. Adolf Hitler dicap sebagai manusia paling jahat dalam sejarah (sedang Stalin yang berganda ganda jumlah yang dikorbankanya tersenyum berjabat tangan dengan Roosevelt). Kemajuan ICT sama selari dengan bercambahnya disinformasi. Kursus komunikasi di IPT masih dengan kelesuan untuk menanganinya. Ajaran Islam yang menyuruh umatnya menyiasat dan mengkaji sumber maklumat yang diterima seolah olah diketepikan (lihat kisah penipuan Protokol Pendita Zion Khalid Jaafar). Pimpinan pendapat bangsa pula melanjutkan agenda disinformasi perihal pakatan Yahudi. Pimpinan pendapat, opinion leaders, seperti tok guru, bekas PM, pensyarah, tok penghulu, tok batin dan sebagainya turut join sekaki. Teknologi Maklumat rupa rupanya bukan penyelesai disinformasi. Ia hanya satu alat umpama pisau yang tajam atas-bawah. pautan relevan:

19.6.06

Caca Merba Potpourri

oleh rastom |

Setelah berehat selama beberapa hari sambil mengulangkaji pelajaran bahasa Rusia, saya temui beberapa keanihan dalam sistem bahasa tersebut. Semua bahasa ada. Contoh bahasa Rusia, sewaktu menyatakan waktu. Dva chisa: Pukul Dua, Tri Chisa, pukul tiga tetapi bila masuk pukul lima, Chisa terpaksa berubah jadi chisu. Pelik betul! Bahasa Rusia berserabut dengan hukum nahu yang pada sesetengah orang Rusia sendiri jadi pening. Sama halnya dengan bahasa Polandia. Tatabahasa yang terlalu rumit membuatkan L. L. Zamenhof menerbitkan Unua Libro tahun 1887, yang menghasilkan bahasa Esperanto. Impian Esperanto tak kesampaian. Seorang rakan saya menulis kenapa beliau meninggalkan harakah Esperanto kerana terdapat unsur unsur negatif. Bahasa Polandia: Satu cabang bahasa Slavik. Sampai sekarang niat belajar bahasa Polandia tinggal niat sebab susah untuk mengingati nahunya. (Mungkin sel otak dah semakin kurang). Bab bab yang berkaitan jantina sudah cukup mencabar sama seperti bahasa Arab, bedanya bahasa Arab boleh kita anggapkan sebagai bahasa asing yang tidak asing. Setiap hari kita berbahasa Arab, tapi jangan ajak berbual. Bahasa Cina Mandarin juga buat saya teruja tetapi yang sering menewaskan pelajar diperingkat dewasa begini ialah huruf huruf Hanzi. Mana ada masa mau hafal kesemuanya? Pendidik bahasa Mandarin kata sekurang kurangnya hafallah 2,000 Hanzi yang lazim digunakan. Saya cuba 10 pun sampai sekarang tak melekat di memori. Bahasa Jerman: Setelah ditiup ilham dari buku teks Jerman yang saya "pinjam jangkamasa lama" dari Ustaz Khalid Jaafar, alhmdulilah sekarang dah boleh membaca (dengan bantuan Globalwoerterbuch). Ditambah pengalaman jadi pemandu pelancong tak berlesen semasa di Langkawi. Diwaktu pulau tersebut mula beroperasi sebagai pulau bebas cukai tahun awal 90'an memang Langkawi sasaran utama Urlauber dari Deutschland. Majoriti orang Jerman fasih bahasa Inggeris, cuma mereka kehairanan kenapa si Mamat ini galak sangat nak belajar bahasa Jerman. Wie lange hast Du Deutsch gelernt= Berapa lama sudah kamu Jerman Belajar? Itu soalan pertama bila saya mencuba kemahiran bahasa mereka. bersambung ke Caca Merba 2

16.6.06

Kenapa saya suka muzik jazz

oleh rastom |

Citarasa dan kemampuan menikmati lagu jazz tidak ada pada semua orang seperti mana tidak semua orang mampu menghargai karya seni lukisan abstrak dan yang konseptual. Format yang tidak terlalu abstrak(kerana keterikatannya pada norma amalan zamannya seperti lagu kelasik pun sukar dihayati kalau telinga tidak dilatih untuk keluar dari tempurung. Tempurung itu hijab yang membuat kita suka dan selesa kerana otak tidak perlu digerakkan untuk mengkaji sebab musabab kenapa begitu, kenapa begini. Tempurung ini mungkin diwarisi seperti mana golongan jahiliah sukar mengubah amalan nenek moyang mereka yang sekian lama bermastautin di dalam zon selesa mereka. Maka apa saja yang disogokkan di corong TV/radio dan dikatakan bagus, itu yang diterima. Anda dibebaskan dari tirani budaya pop yang sentiasa perlukan suntikan wang setiapkali seseorang artis menerbitkan album. Anda tidak perlu peduli lagu/ artis mana ditangga Top 40 Amerika atau Malaysia. Cukup hanya satu album jazz, anda boleh mengulang dengar berkali kali tanpa rasa jemu untuk selama lamanya. Saya boleh nikmati tiupan saksofon John Coltrane terbitan tahun 50'an hingga ke hari ini. Mau tau kehebatan John Coltrane? Saya hanya sekadar mengkagumi kemampuannya menerobos keluar dari amalan lazim struktur permainan, tidak seperti orang kampungnya yang mengangkat beliau menjadi nabi. Bagaimana cara mendekati Seni Tinggi (ikut istilah Puan Ainon) jazz? Seperti bidang seni yang lain, pertamanya ketahuilah bentuk dan struktur muzik. Jika anda biasa bermain alat muzik, kenalilah keseluruhan gamut kemampuan alat tersebut membunyikan sesuatu nada. Jika anda boleh menyanyi, kajilah setinggi mana suara anda dan nada apa yang paling rendah boleh anda dendangkan. Bidang seni sebenarnya mengajak anda mengenal dunia anda sepenuhnya. p.s. John Coltrane pernah menerbitkan sebuah album, sebuah karya impresionistik introspektif dan ada kalangan yang berpendapat ratib yang terdapat dalam lagu tersebut sebenarnya bukan berbunyi A Love Supreme, tetapi Allah Supreme. Segalanya mungkin, kerana dizaman beliau berkarya, ramai pemuzik jazz negro kontemporarinya dari kalangan Black Muslim yang tidak menggunakan nama Islam mereka. Gambar ilustrasi: Gonzalo Rubalcaba, pianis dari Cuba yang mencabar klise Jazz hanya ada di USA. Berjaya mencurahkan unsur unsur Afro-Cuba ke dalam dulang kontemporari, diayak mengikut rentak bebasnya jazz.

14.6.06

Tan Sri Dr Zaaba

oleh rastom |

Satu buku yang nipis tetapi isinya agak revolusioner pernah saya baca karangan Zaaba . Malangnya entah kemana perginya buku itu. Judulnya kalau tak silap saya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Itulah satu buku motivasi yang mendahului zaman, sebelum muncul pakar-pakar motivasi (ramai diantaranya kini mengajar anda menjadi jutawan). Gaya Zaaba cukup mudah dan berkesan. Artifak yang ada untuk mengenang Zaaba yang saya tau ialah Kolej Zaaba. Mungkin ada lagi dilain tempat. Alangkah baiknya kalau wacana Zaaba dan sumbangannya dalam membangunkan intelektual bangsa dapat dianjurkan. Nostalgia kepada Zaaba tercetus selepas membaca jawapan Anwar kepada Mahathir di mahkamah hari ini. Satu episod yang tak termasuk dalam dokumen tersebut tetapi entah rasanya ada kaitan dengan integriti ajaran Zaaba ialah sewaktu Abdul Hamid Omar (ada bau bacang dengan aku) kata dia terpaksa akur titah Raja, untuk menjadi khalifah Tribunal tersebut,walaupun tindakannya melanggar etika.

13.6.06

Semakin menarik!

oleh rastom |

Bandingkan: You're either with us or against us in the fight against terror, oleh Ustaz Bush dan satu petikan dari ummahonline.com ., yang berbunyi Segala macam penolakan Khilafah, sesungguhnya terbit dari satu paradigma saja, iaitu sekularisme, tidak ada yang lain. ( perlu dibaca dengan aksen indon pekat) ....ada asonansi

12.6.06

Open Source dan Keberkatan : Finale

oleh rastom |

Dua puluh tahun dulu Lewis Hyde menulis The Gift: Imagination and the Erotic Life of Property kembali menemukan kita kepada kemuliaan memberi tanpa mengharapkan balasan. Dasar Ekonomi Baru yang dimaksudkan pada entri yang lalu ialah Gift Economy yang bercambah lalu mengesani aktiviti kreatif para pengusaha sofwer Open Source. Kata Richard Barbrook , Ekonomi Baru yang berkembang di ruang siber itu satu bentuk demokrasi sosial yang canggih. Walhal, jika diteropong ke dalam budaya kita sendiri, sudah lama ada, "memberi lebih baik dari menerima", cuma malangnya ayat itu tidak di konsepsikan menjadi satu teori yang canggih lagi meluas aplikasinya. Kenapa zakat fitrah dikatakan satu usaha membersihkan atau mencuci harta? Dianjurkan pula supaya kita merasa puas jika berkemampuan mengeluarkan zakat. Dalam ekonomi kapitalis sebaliknya kita berusaha mengelak dari membayar cukai atau mencari jalan untuk mensifarkannya dalam borang taksiran. Sebagai rumusan, senggol senggolan saya perihal Open Source dan Keberkatan bermaksud menonjolkan hakikat, ada fikrah Barat yang terselindung dari arus perdana komersialisme yang boleh menemukan kita balik kepada jatidiri budaya sendiri yang belum digali dengan semangat jahada (bukan jihad ekonomi yang antah berantah ). Pautan relevan: The High Tech Gift Economy The Gift Economy

12.6.06

Open Office dan Keberkatan II

oleh rastom |

Falsafah aktivis sofwer OS menyimpang dari arus perdana dunia perniagaan konvensional. Dunia internet mebiakkan satu budaya yang percaya kepada memberi nilai kepada perkembangan ilmu tanpa terlalu berkira dengan pulangan kewangan. Yang diutamakan ialan memberi serta menambah nilai (nilai tidak disama ertikan dengan wang). Antara mereka yang cenderong agama mengharapkan bertambahnya karma points. Contoh: Gutenber Project yang berusaha menghimpun kesemua karya yang luput hakcipta untuk kemudahan umum secara percuma. Wikipedia berusaha mewujudkan satu e-ensiklopedia yang boleh dirujuk secara percuma. Rakan saya tanya, apa untungnya? Jawabnya, izinkan saya singgung sedikit dari entri Puan Ainon Penulis Sepenuh Masa adalah Bisnesman bab 8. Pandai memberi kerjasama dan 11. Pandai Memenuhi Keperluan Orang Lain. Tiada beda dengan dunia akademik, hasil penyelidikan dibentangkan di konferens, simposium dan jurnal. Nilai seseorang akademis meningkat dengan bertambahnya citation sumbangannya. Prestij dan ketrampilan yang diakui inilah modal yang bakal menarik sumber dana dan peluang naik pangkat, dunia akademik bertambah lestari bila ilmuan lain turut mendapat faedah dari hasilan kita yang asalnya dikembangkan dari titik peluh penyumbang terdahulu sebelum kita. Perkongsian pintar dari dunia menara gading inilah tradisi Open Source! Bersambung.......selang seli dengan air masak kosong, kahwa tak boleh banyak sangat. Kita diajar "tangan diatas yang memberi lebih mulia dari tangan dibawah yang menerima". Ungkapan ini rupa rupanya telah membuahkan satu teori Dasar Ekonomi Baru di Barat, bukan DEB Malaysia.. Apalkah DEB itu? Tunggu ya, jangan tak tunggu.

11.6.06

OpenOffice dan Keberkatan

oleh rastom |

Di Universiti Terbuka saya temui perbualan mengenai topik yang menarik. Penggunaan sofwer Open Source dan Harta Intelektual. Saya setuju kalau kita beralih menggunakan Openoffice (OO) kerana beberapa faktor lain termasuk status tanpa lesennya. Faktor lain ialah kurang songehnya berbanding yang satu lagi. (Malas nak sebut nama sebab dah lama tak gunakan jenama itu). Gambar disebelah ialah Lawrence Lessig. Dari faktor sejarah undang undang yang berkaitan copyrights, patents dan trademarks, undang undang ini bermula dengan hasrat menjaga kepentingan para pemodal dan pencipta/karyawan dalam sistem kapitalisme yang baru tumbuh gigi di Eropah kemudian beralih pusat pembiakan kapitalis ke Amerika Syarikat. Korpus undang undang yang kita pakai di mahkamal sivil adalah dari ibu kapitalisme. Ada semacam batu penghalang yang diwujudkan didalamnya yang bermaksud menjaga kepentingan pemodal (atau karyawan dibawah naungan pemodal) dan meminggirkan pihak lain. Masalahnya, undang undang ini wujud seperti kain gebar yang menyelimuti kesemua bidang tanpa rincian untuk kerja kerja mengembangkan ilmu. Bila teknologi seperti ICT meledak, ia mengesani banyak bidang muamalat kita termasuk ehwal copyrights. Microsoft pandai manipulasi dan membiakkan bisnes guna kain selimut Intellectual Property. Ditirunya sistem Windows dari Apple Mac dengan sedikit modifikasi. Diambilnya code code tertentu dari sumber Open Source tanpa kredit diberikan. Asal usul internet bermula dari kerja mengkaji bukan berdagang, tetapi justeru membiak di alam kapitalisme, lambat laun wahananya turut membantu dunia dagang. Pun demikian, cuma grup e-dagang yang faham tabiat semulajadi internet sahaja yang berjaya, bukan jenis e-dagang totok yang hanya mau jual-jual-jual tanpa keuntungan dua hala. Bersambung selepas secawan kahwa.. Open Source bukan satu rujukan muktamad kepada satu benda atau perkara. Ada fahaman Richard Stallman, dan lain pula halnya dengan grup Creative Commons Lawrence Lessig. Kedua duanya dan beberapa nama lain amnya mencabar kekangan peruntukan dalam undang undang copyrights yang bersangkutan sofwer. Saya lebih terdorong untuk menyokong gerakan Open Source kerana ia lebih memihak kepada usaha mengembangkan ilmu dengan penggunaan sofwer, bukan mengembangkan akaun bank pencipta sofwer. Jika diikutkan kepala otak Bill Gates dan rakan rakan, dominasi dan monopoli sofwer tidak akan memupuk perkembangan ICT seerti yang ada sekarang. Contoh: server web yang membawa data kepada PC anda sekarang kebanyakkannya dijana oleh Apache, satu sofwer Open Source. Sikap keterbukaan aktivis Open Sourcelah yang memungkin ledakan informasi - contoh: Blogger.com memberi ruang percuma kepada saya dan ramai lagi. (Walapun selalu kantoi, sebab terlebih langgan). Saya belum lagi masuk bab keberkatan dalam mengguna sofwer. Mungkin selepas secawan kahwa lagi.......

Khalidjaafar.org menjolok sarang tebuan yang sedang dalam proses bikinannya di Malaysia. Hujahnya sudah saya baca di ummahonline.com, Mengingatkan saya kepada fenomena yang sering berulangkali menimpa orang Malaysia, Melayu khususnya, yakni fenomena sekim cepat kaya (SKC). SKC itu satu idea dan idea dipromosikan kepada umum yakni manusia yang memerlukan sesuatu untuk memenuhi atau mengisi sesuatu keperluan. Dengan masyarakat Melayu, idea yang bersalut agama boleh dijamin kelarisannya. Pak Man Telo dulu pun menjual ideanya untuk membantu orang Melayu/Islam. Akhirnya bantuan rupa rupanya bantuan mengosongkan wang simpanan kita. Saya tidak pernah tertipu dengan apa apa SKC, sebab itu sampai sekarang tak kaya. Saya melihat usaha merealisasikan Hibut Tahrir, menghidupkan semula sistem khilafah sebagai satu usaha mewujudkan semula satu sistem monolitik yang dari segi saintifiknya seolah seperti satu gostan. Dari urutan sistem manusia menyusun tadbir urusannya yang monolitik dilihat dalam sejarah menemui kehancuran. Lihat sistem Osmaniah. Sistem Empayar Roman Katolik, Komunis di Rusia dan China, lihat juga Empayar Melayu, Srivijaya dan Majapahit. Semua itu idea sistem monolitik. Dalam sains komputer, sistem monolitik akhirnya terpaksa dirombak menjadi sistem kecil yang di panggil microkernel, supaya lebih mudah diurus. Satu Malaya yang monolitik (Malayan Union) ditolak akhirnya jadi persekutuan. Nampaknya warisan megalomania Mahathirism juga dianuti oleh aktivis Islam masakini.

9.6.06

tiru macam saya? jangan!

oleh rastom |

Kemuncak kultur menongkat langit sudah sampai ke tahap tepu. Era mediokriti bakal disuluhi oleh teknologi maklumat yang semakin hari semakin menelanjangi kebahlolan yang diselaputi aura yang penuh glamor janaan media konvensional. Lembaga hegemon yang dulunya ketika aku berkuasa sudah tidak seperti dulu. Aku suara tua dipinggir senja.

powered by ODEO Wayang kulit Kedah banyak melakukan improvisasi. Jalan cerita dan watak disesuaikan dengan suasana kontemporar. Wayang Kelantan, Jawa atau di Thailand masih mengekalkan watak watak asli seperti Hanuman dsb. Kerana corak kekiniannya wayang kulit Kedah, kumpulan ini masih mendapat sambutan di kawasan utara. Isu isu terkini seperti dasar kerajaan dan gelagat Mat Rempit menjadi tema persembahan. Pernah mewakili negara ke persembahan seni budaya antarabangsa di Eropah. Bahasa Melayu loghat Kedah digunakan pada dialog intro. Dalam loghat Kedah pula terbahagi kepada beberapa sub-dialek. Yang digunakan oleh Pak Majid dalam audio ini adalah dialek yang biasa digunakan di sekitar Changlun, Hosba, Napoh yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Bahasa kedua masyarakat wilayah ini bukan bahasa Inggeris tetapi bahasa Thai. Sawadde Kap!

4.6.06

Puan Ainon, PTS dan Amazon

oleh rastom |

Terima kasih kepada Puan Ainon diatas kesudian menjengah masuk. Ada banyak perkara saya pelajari dari beliau (termasuk laman web/blog PTS dan Sastera Islami. Saya selalunya hilang fokus bila memblog sesuatu, ikut rasa.Blog terdahulu dalam BI sepatutnya dimasukkan ke satu ruangan khas yang satu lagi yang telah saya sediakan: AUDIOBAHASA. Sumbangan puan dalam kedua dua weblog puan tersebut di atas tadi saya kira satu milestone dalam pustaka blog bahasa Melayu. Belum ada yang komprehensif begitu. Menepati kehendak zaman dan memang kena dengan kehendak e-dagang yang berlandaskan C->T->P->M. Apa itu CTPM? C merujuk kepada Content. T kepada Traffic, P ialah Presell dan akhir sekali ialah M untuk Monetize. Itulah caranya e-dagang beroperasi. Begitulah juga caranya kebanyakkan portal e-dagang yang berjaya beroperasi. Cuba perhatikan, faktor wang (monetize) berada di susunan terkebelakang, sementara untuk organisasi yang gagal berE-dagang dalam internet walaupun berbelanja besar gagal kerana meletakkan faktor wang, dan jualan dihadapan. Buka saja laman terus letak harga barang. Sifat pengguna internet dikenalpasti diseluruh dunia sebagai makhluk dahagakan info. Dari info yang diberikan lahirlah kepercayaan. Tak kenal maka tak cinta. Kenapa Google berjaya sedangkan mereka tidak menjual apa apa? Google tahu orang suka mencari maklumat dan ia menjadi portal carian terunggul. Terlalu berkesan sehingga namanya Goggle menjadi satu derivatif. Cubalah kau Goggle tengok....tentu ada ..Dari kejayaan Google kita boleh buat rumusan bahawa manusia sentiasa mencari maklumat. Puan Ainon sudah mulakan sesuatu yang menepati skima asas e-dagang. Blognya punyai maklumat yang dicari. Kepercayaan dan traffic sudah ada, langkah seterusnya beliau perlu mengkaji dan melihat sistem yang berjaya dilaksanakan oleh Amazon.com .Mereka bukan sahaja menjual buku, malah sorotan buku oleh pengunjung lamannya juga menjadi daya penarik kepada pengguna lain yang dahagakan info. Dengan sedikit pelaburan ke arah ini saya kira Puan Ainon mampu membawa satu pembaharuan. Ingat, mereka juga mengharapkan cek cek kecil.

1.6.06

malay sounds and spelling

oleh rastom |

Like English, the Malay alphabet has 26 letters, modern Malay that is, although you may even write the language with Arabic script. I am not going into the scientific method of using phonetic symbols here. No IPA's. This is a beginner's course which is meant for all kinds of learners - so I'll just use the normal alphabet. a is the language's lifeline. If you are familiar with French a in pas, or German a in Man, half the battle is won. The sound dont' change anywhere you put it. ai : say the English word eye! au: If you can say How, Now, Cow? b: As in English b c: Can you say cha-cha? We can say that without the h. ca-ca d: the same as in English e: big problem here! Let's learn the first form. French thé has that sound, so is German Tee e: like the first syllable in English ago. f: g: get going go, go gorillaz f: foo fe fie fo fum, no change as in English i: Eternally sounds as in the vowel in sit That's it for now. Watch this space, we'll have audio sounds to help you get by in Malay in no time. I'll continue later. Meantime, if you click the link below, you'll be directed to the sound file of a news bulletin (Berita) in Malay. There's a transcription attached. Have fun!Ciao!
powered by ODEO Transcription:

Assalamualaikum.... Bersama saya Junaizah dalam Berita Nasional RTM: Sari Berita: Minda yang bebas daripada penjajahan mampu menjana pemikiran lebih kreatif. Bilangan bakal guru akan diterapkan bagi mengelak lebihan. 35 anggota polis antara yang terbunuh dalam serangan kumpulan penjenayah di Brazil. BERITA SEPENUHNYA: Generasi masakini perlu meluaskan minda dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mampu muncul sebagai manusia yang relevan. Ini ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, minda yang bebas daripada segala bentuk penjajahan mampu menjana pemikiran aktif dan berdaya saing, seiring dengan era globalisasi yang semakin mencabar. Sebaliknya, gaya hidup yang berpaksikan perkara yang tidak relevan hanya akan menjadi sesuatu bangsa itu mundur dan jauh tercicir. Beliau berkata demikian ketika bercakap merasmikan sambutan Hari Keluarga Umno Cawangan Kampung Landak di Pekan, Pahang.

Sekarang musim kenduri kahwin. Sepatutnya disebut kenduri nikah. Yang diraikan ialah majlis pernikahan yang baru berlangsung. Kahwin berlaku selepas itu secara tertutup mengikut adatnya. Adat berbelanja besar besaran dijustifikasikan dengan kalimat "biar mati anak jangan mati adat" Dah lama saya mengesyakki ada sesuatu yang tak kena dengan kalimat itu. Rupa rupanya ada kisah disebaliknya, dan erti "adat" yang dimaksudkan itu pula konotasi asalnya lain dari adat yang kita pegang.

Putranya,Sultan Iskandar Muda (Aceh), Meurah Pupok, dihukum rajam olehnya kerana terbukti berzina dengan isteri seorang perwira kerajaan. “Mati anak ada makamnya, mati hukum kemana lagi akan dicari keadilan”, begitulah ucapnya ketika penasihatnya mempertanyakan kebijakannya itu.

Hello World! This video clip is dedicated to you esp. the Unilangers.The MC presents the show in French. Enjoy!

27.5.06

Think global Act Local 3

oleh rastom |

Saudara si kucing Rabbi. Adakah Rabbi itu sama dengan Lebai Melayu?

25.5.06

Think Global, Act Local 2

oleh rastom |

Dalam ketiga tiga bidang seni muzik, lukisan dan penulisan terdapat satu unsur - bahasa. Muzik bahasanya bunyi. Lukisan guna bahasa warna. Penulisan guna bahasa bahasa. Dalam bahasa muzik ada aturan permainannya, sama hal dengan lukisan dan penulisan. Aturan permainan untuk menulis seperti yang ada di blog Puan Ainon. Bermacam genre/aliran ada dalam setiap tiga bidang tadi. Dalam negara kita yang saya nampak dan berani cakap, seni muzik Malaysia sudah tidak berkembang. Yang ada hanya kitsch pop. Kembang mekar lagu rap/hiphop yang dihiasi dengan tarian dan lentuk gaya negro. Bahasa Inggeris ebonics, yang saya tak faham. Mereka fahamkah? Muzik begini ibarat menulis yang noktah dan koma diletak entah dimana dan kalau didengari oleh tok nenek kita tentu disangkanya penyanyi tersebut sedang berleter. Inilah satu contoh menyerap unsur global ( global pop USA) yang lokal terbuang. prasyarat naik pentas:

  • pakai topi terbalik
  • pakai baju hujan atau yang sewaktu dengannya
  • tangan mesti merewang - rewang
  • mukaddimah dan selang seli ratib wajib dengan kata kata "Yo!"

23.5.06

Think Global, Act Local

oleh rastom |

Satu contoh mudah yang relevan dengan ungkapan ini saya teringatkan artis M.Nasir. Apa kelainan M.Nasir? Jika ada orang luar Malaysia tanya saya apa lagu Malaysia yang baik, saya hanya mau kemukakan lagu lagu Nasir. Ada banyak unsur lokal dalam karyanya. Kalau yang bertanya saya itu maukan lebih highbrow, saya akan kemukakan nama Alfonso Soliano, Gus Steyn dan kalau yang bertanya orang yang sukakan yang asli sudah tentu saya syorkan koleksi lagu lagu Hamzah Dolmat. Sebab apa saya sebutkan nama nama itu? Panjang ceritanya. Kita akan masuk ke satu bab (Arab maknanya pintu) muzikologi, psikologi dan ekonomi. Genre muzik terkini seperti hiphop, rap boleh tunggu sebentar ye.......

Sebagai rakyat yang patriotis lagi demokratis, saya sangat tasammuh dengan aktiviti kesukanan walaupun memang terkenal sebagai kaki bangku dari zaman persekolahan. Pun demikian, kaki bangkuku hanyalah dipadang. Di dalam air samada laut atau sungai kaki bangku ini punyai sedikit kelebihan. Sukan air di kolam renang tidak ramai partisipasi Melayu. Tahun 70'an di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar hanya dua orang, aku dan seorang budak Perlis, Azhar Mansor. Dia keliling dunia dengan bot dalam zaman megalomania. Ah! Itu sudah cerita lain. Cerita Sukma XI lah pulak. Belanja mengurus Sukma cukup besar. Tiap kali venue berubah, setiap negeri berusaha menyaingi negeri sebelumnya. Rakanku Ah Beng, seorang mekanik kata lebih baik buat di Bukit Jalil. Aku setuju dan rasanya rakyat Malaysia pun setuju. Sepatutnya kita sudah mampu melahirkan lebih ramai atlit yang bertaraf pingat emas bila berlawan dengan atlit (rantau ASEAN pun dah cukup)dengan belanja yang begitu besar. Tetapi hasilnya tidak. Dengan sedikit bantuan Sokrates aku dapat meneka bahawa SUKMA sebenarnya satu bisnes untuk mereka yang ada network dengannya. Sukan hanyalah sisipan yang dijelmakan sebagai hidangan utama. Yang mahal dalam menu SUKMA sebenarnya sambal, ulam dan papadom. Tali lebih mahal dari lembu.

22.5.06

Kontroversi Evolusi

oleh rastom |

Di Amerika Syarikat debat agung sedang berlangsung antara penyokong teori evolusi lawan penyokong intelligent design. Berlaku saman menyaman antara pihak samada wajar atau tidak subjek yang berteraskan fahaman evolusi manusia diteruskan disekolah. Puak yang menentang teori evolusi dipanggil Creationist (menolak teori tersebut dan percaya setiap spesis di bumi dicipta oleh satu Kuasa.) Ada satu lagi grup dalamnya yang dikenali sebagai penyokong ID (pro Intelligent Design). Bab evolusi nukilan Darwin ramai di Malaysia yang tak setuju. Asal usul kita jenis berok? Tapi saya percaya, kita semua memang berekor sebelum jadi manusia. Cuba lihat rupa spermatozoa.

Saya sedang belajar Mandarin. Bahasa dunia. Guru saya ada dimerata tempat, kawan-kawan, internet, suratkhabar, tv dan radio. Kitab apa yang tiada dalam bahasa China? Dari manual membaikki VCR, kereta motor, eletronik hingga ke buku jahitan pakaian. Falsafah ada, Lao-Tzu, Sun-Tzu pun ada. Semasa di sekolah menengah, saya terbaca ada teori sarjana sejarah kata Islam datang ke Semenanjung dari negeri China. Kedai $1.90 sudah sampai. Alat komponen komputer kita banyak yang tertulis "Made in China". Jiran kita ada yang pandai Mandarin. Di mana kita? Tabir reput politik perlu disingkap untuk menemukan kembali erti "tuntutlah ilmu walau hingga ke negeri China". Laman yang berkait: Languages of China Hanzismatter Learn Cantonese Bulan Bintang China (republik setahun)

Mei 20 1506, tarikh luput hayat Christopher Columbus. Hari Columbus diraikan dibeberapa tempat di Amerika setiap 12 Oktober . Ada juga pihak yang menyangkal kesahihan Columbus sebagai orang putih Eropah pertama ke benua Amerika dan tidak pedulikan Hari Columbus, sebaliknya meraikan hari Anak Watan sebagai mengingati kemusnahan dan penjajahan. Sekarang orang putih sudah jenuh dengan emas, rempah ratus dari wilayah jajahan mereka. Bumi yang bulat kini menjadi leper kata Thomas Friedman, biang keladi globalisasi gaya cowboy.

Subscribe